Terdapat sesetengah orang
Melayu yang tak boleh menerima iklan di TV yang menggunakan bahasa Tamil, Cina
dan sesekali Inggeris di samping bahasa Melayu. Ada jugak yang tak betah dengan
iklan yang memaparkan kaum Cina dan India di samping Melayu. Ditambah pulak
dengan sesetengah pihak yang membantah penyertaan tarian Cina dan India dalam
persembahan zapin. Aku tau semua ni sebab orang-orang ni sendiri yang
menyuarakan pendapat mereka dalam akhbar.
Aku malas nak komen lebih-lebih,
sebab isu hubungan kaum di Malaysia ni sama dengan isu Israel-Palestin. Sampai
bila-bila pun takkan selesai. Cuma aku nak bercerita sikit tentang cara masyarakat
kulit putih yang menjadi majoriti di banyak negara, sepertimana orang Melayu menjadi
majoriti di Malaysia, menghadapi kepelbagaian budaya.
Wujud sebuah konsep dalam
sosiologi yang digelar white guilt, iaitu rasa bersalah yang dialami oleh orang kulit
putih, natijah penjajahan dan penindasan yang dilakukan oleh nenek moyang
mereka terhadap bangsa bukan kulit putih selama berates-ratus tahun. Seperti
yang kita tahu, orang kulit putih dari Eropah telah menjajah semua benua di
planet Bumi ni kecuali Antartika.
Sebagai contoh, orang
Portugis menjajah Melaka, orang Perancis menjajah Algeria, orang Belanda
menjajah Indonesia, orang Jerman menjajah Namibia, orang Itali menjajah Habsyah,
orang Sepanyol menjajah Mexico, dan orang British menjajah Australia, New Zealand,
India dan Amerika Syarikat. Sepanjang zaman kolonial, berjuta-juta orang bukan
kulit putih di jajahan-jajahan ini dibunuh dan ditindas oleh orang kulit putih.
Selepas runtuhnya
empayar-empayar Eropah pada pertengahan abad ke-20, timbul kesedaran dalam
sebilangan waris kulit putih ni tentang betapa teruknya penindasan yang
dilakukan oleh nenek moyang mereka terhadap bangsa terjajah (yang kebanyakannya
bukan berkulit putih). Hasil daripada kesedaran tu, orang kulit putih hari ni
sebahagian besarnya cukup terbuka dengan kepelbagaian budaya orang lain kerana
mereka tak mahu dicap sebagai mengulangi mentaliti nenek moyang penjajah mereka
yang menindas bangsa bukan kulit putih.
Dalam cara tersendiri,
penerimaan orang kulit putih terhadap budaya asing ialah satu cara mereka ingin
memohon maaf atas kezaliman nenek moyang mereka sewaktu era penjajahan.
Contohnya di New Zealand, masyarakat kulit putih sama-sama meraikan Tahun Baru
Cina dan Deepavali bersama komuniti Cina dan India. Jadi kita dapat tengok kat
sini bahawa orang kulit putih bersifat liberal dengan kepelbagaian budaya kerana
mereka dibayangi oleh rasa bersalah akibat penindasan yang dilakukan oleh nenek
moyang mereka.
Tapi orang Melayu tak
menjajah siapa-siapa, jadi mereka takde rasa bersalah terhadap mana-mana kaum
bukan Melayu. Lalu orang-orang macam ni tak nampak kenapa mereka kena bersifat
terbuka terhadap kepelbagaian budaya. Mereka tak dibayangi oleh perasaan bersalah
dan takde siapa mereka nak minta maaf. Bahkan ada sesetengah orang Melayu yang
merasakan diri mereka sendiri yang tertindas akibat terpaksa berkongsi Tanah
Melayu dengan kaum Cina dan India sebagai syarat mencapai kemerdekaan.
Aku percaya itulah salah satu
sebab kenapa ada orang-orang Melayu yang tak selesa dengan paparan berbilang bangsa
dan bahasa dalam iklan dan penyertaan tarian Cina dan India dalam persembahan
seni Melayu. Apa pendapat anda?
P/s: Artikel sempena
ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16
September 1963.
No comments:
Post a Comment