Saturday, April 10, 2010

Kesilapan Posisi Duduk Si Gajah


Kain pelikat Gajah Duduk memang berada dalam kelasnya yang tersendiri. Dengan selamba badak (gajah?) nya ia berjaya mengungguli takhta selaku kain pelikat terulung di seantero Nusantara. Kalau sebut kain pelikat Gajah Duduk, imej yang bermain di pemikiran kita ialah gaya, mutu dan keunggulan.

Apa yang lebih membanggakan ialah Gajah Duduk berjaya mencapai prestij sedemikian dengan menggunakan jenama berbahasa Melayu yang betul-betul Melayu (walaupun ia adalah produk dari Indonesia). Tak payah pakai jenama yang gah tapi tak bermakna seperti De'Gajah le Duduque, sepertimana banyak barangan tempatan lain yang kualiti dan penjenamaannya seperti tahi.

Dengan mengambil contoh daripada Gajah Duduk, aku ingin mengesyorkan beberapa jenama yang bertemakan haiwan. Jenama yang aku syorkan ini mengikut kriteria berikut: nama haiwan (e.g. gajah) di depan, kata kerja (e.g. duduk) di belakang, dan jenamanya tidak ada kena mengena langsung dengan barangan tersebut. Semoga penggunaan jenama-jenama ini akan dapat memperkuatkan prestij dan gah sesuatu barangan itu sepertimana kain pelikat Gajah Duduk.

Jenama: Ketam Letih
Barangan sesuai: Tayar kereta

Jenama: Musang Tersadung
Barangan sesuai: Losyen pelembap

Jenama: Kutu Kentut
Barangan sesuai: Joran pancing

Jenama: Lalat Tersedak
Barangan sesuai: Alat tulis

Jenama: Keluang Bersila
Barangan sesuai: Komputer

Bolehkah para pembaca mencadangkan jenama-jenama lain seperti ini?

Monday, April 5, 2010

Pocong Comel Di Pagi Ahad


Beratus-ratus tahun dahulu di Eropah, kalau sebut je serigala jadian atau troll, mau terkencing dalam seluar. Begitu juga dengan pontianak (vampire) atau ahli sihir. Orang Eropah zaman kuno mempercayai kewujudan makhluk-makhluk ni dengan begitu taksub sekali, dan kisah-kisah berkenaan mereka ceritakan sejak turun-temurun. Masyarakat sangat histeria dengan ancaman makhluk-makhluk ni sehingga terjadi upacara mendedahkan serigala jadian dan ahli sihir yang berakhir dengan pembunuhan besar-besaran.

Zaman sekarang ni semua tu dah hilang. Sekarang serigala jadian dan vampire dijadikan kartun yang comel buat hiburan kanak-kanak, dan troll yang dulunya begitu digeruni oleh masyarakat Skandinavia kuno kini dipaparkan dalam buku-buku fantasi dan permainan seperti Dungeons & Dragons dan Magic:The Gathering. Kostum-kostum berdasarkan makhluk-makhluk ni dipakai dengan gahnya semasa parti kostum dan sambutan Halloween.

Aku tertanya-tanya bilakah masanya hantu-hantu dan makhluk ghaib alam Melayu bakal menerima nasib yang sama seperti makhluk jadian Eropah? Adakah seratus, dua ratus atau lima ratus tahun akan berlalu sebelum kita boleh melepaskan hantu Melayu dari arena ilmu hitam dan cerita seram pergi kepada komoditi media?

Bilakah kita akan dapat menerima perkumpulan komedi hantu-hantu Melayu ala-ala The Addams Family? Bilakah agaknya kita akan berjumpa dengan topeng penanggal di kedai-kedai kostum, sepertimana topeng vampire yang dijual sekarang? Bilakah agaknya kita akan dapat menerima pocong sebagai watak kartun yang boleh membuat anak-anak ketawa di pagi Ahad?

Sebab serius aku cakap, pocong antara hantu Melayu yang aku rasa paling seram sekali, dan kalau ada kartun pagi Ahad yang dibintangi oleh pocong yang comel, aku akan lari lintang pukang dari TV tu sebab aku takut nak tengok.

Watak hantu alam Melayu ni pun boleh dibuat modal untuk animasi kartun, ok apa?