Wednesday, August 31, 2011

Adakah Malaysia Maju Jika Dijajah British


Sempena ulangtahun ke-54 kemerdekaan Malaysia dari penjajahan British, aku nak buat spekulasi sikit tentang apa yang akan terjadi jika Malaysia tak berjaya merdeka dari British.

Pertama sekali aku tertanya-tanya jika Perang Dunia Kedua tak berlaku dan British kekal menguasai Malaysia sehingga abad ke-21, adakah perkara-perkara ini akan berlaku?

  1. Malaysia akan dihuni oleh pemukim-pemukim kulit putih seperti yang berlaku di Amerika Syarikat (pra-1776), Kanada, Afrika Selatan, Australia dan New Zealand. 
  2. Malaysia akan mencapai tahap kemajuan ekonomi yang setaraf dengan negara-negara tersebut.
Tujuan aku bertanyakan soalan-soalan tu ialah kerana Negara-negara tersebut (kecuali Amerika Syarikat) mempunyai sejarah kolonialisme yang hampir serupa dengan Malaysia; mereka semua telah dijajah oleh British selama 200 tahun, lebih kurang. Jadi kalau mengikut peredaran sejarah, Malaysia juga patut mengalami keadaan sosiopolitik yang sama dengan negara-negara tersebut jika ia kekal dijajah British sehingga abad ke-21.

Tapi jawapan peribadi aku untuk kedua-dua soalan itu ialah:
  1. Tidak
  2. Mungkin
Sebab kenapa aku menjawab 'Tidak' untuk soalan pertama ialah kerana pemukim-pemukim kulit putih dari Eropah takkan menganggap Malaysia sebagai destinasi hidup yang bagus seperti Australia dan New Zealand. Iklim dan persekitarannya terlalu berlainan dengan apa yang mereka dah terbiasa di Eropah. Walaupun geologi, flora dan fauna di Afrika Selatan, Australia dan New Zealand begitu asing berbanding di Eropah, paling tidak mereka mengalami iklim empat musim yang juga dialami di Eropah; berlainan dengan Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Mungkin sekarang ramai pelancong asing dari Eropah datang ke Malaysia kerana mereka menganggap iklimnya selesa dan eksotik, tapi jika anda seorang pemukim dari Eropah 200 tahun dahulu yang menyeberang laut untuk memulakan hidup baru di tanah jajahan negara anda, anda takkan menganggap iklim dan persekitaran Malaya sebagai sesuatu yang selesa dan eksotik. Semestinya anda akan menderita begitu teruk dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baru semasa berusaha untuk mencari sesuap roti (sebab orang putih tak makan nasi).

Mungkin jika British kekal menguasai Malaya, akan ada juga pemukim kulit putih yang datang, tetapi mereka ni akan terdiri dari pegawai kerajaan British, anggota tentera, pedagang yang sekadar singgah, atau mungkin pencari emas. Pendek kata, orang-orang kulit putih yang bermukim di Malaya ni samada kerana dipertanggungjawabkan untuk tinggal atau kerana mempunyai daya tahan yang tinggi. Takkan ada pemukim kulit putih di zaman dahulu yang sukarela hendak tinggal dan memulakan keluarga di satu negara yang begitu berlainan sekali iklim dan persekitarannya dari Eropah. Silap-silap mati sebab iklim terlalu panas atau kebulur tak makan.

Untuk jawapan kepada soalan kedua, aku menjawab 'Mungkin' sebab Malaya mempunyai potensi untuk menjadi kawasan yang sangat maju dari segi perdagangan. Selat Melaka merupakan laluan kapal dagang yang paling sibuk di dunia, dan pulau Singapura ialah tapak pelabuhan yang sungguh strategik. Jadi jika British kekal menguasai Malaya dan Singapura, ia dapat menguasai perdagangan laut antara Eropah dan Asia. Ini berpotensi menjana kemajuan untuk Malaya. Kalau difikirkan, New Zealand yang terletak nun jauh di hujung Lautan Pasifik (tempat jin bertendang) pun boleh mencapai tahap kemajuan negara dunia pertama; inikan pulak Malaya dan Singapura yang terletak di tengah-tengah laluan dagang antara benua.

Tetapi harus diingat, kemajuan yang mungkin dicapai tu untuk siapa? Seperti yang aku ulas tadi, besar kemungkinan tiada populasi pemukim kulit putih yang besar di Malaya untuk membolehkan ia digelar sebagai British Dominion seperti mana Kanada, Australia dan New Zealand. Malaya hanya akan kekal sebagai BritishColony yang hanya berguna buat British mengaut hasil bumi dan dihantar ke Britain dan dominion-dominion lain. Masyarakat di Malaya besar kemungkinan takkan dapat menikmati hasil kemajuan negeri mereka sendiri kerana semuanya telah diangkut balik ke Eropah oleh British. Jadi mungkin Malaya boleh mencapai kemajuan di bawah pemerintahan British, tapi ke mana hasil kemajuan tu digunakan ialah satu persoalan lain.

Justeru itu, aku menyimpulkan bahawa kalau Malaysia kekal dijajah British sehingga sekarang, Malaya boleh maju tetapi bukanlah masyarakat Malaysia yang menerima faedahnya.

P/s: Artikel sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16 September 1963.

Saturday, August 27, 2011

Nak Pinjam Perkataan Boleh?


Berlainan dengan penutur Bahasa Inggeris (BI) yang bersikap liberal terhadap peminjaman perkataan dari bahasa asing, penutur Bahasa Melayu (BM) secara amnya susah nak menerima perkataan pinjaman dari sesetengah bahasa lain.

Sebagai contoh, kita ambik ayat ni: "extreme political activities are verboten". Verboten ni berasal dari bahasa Jerman yang bermaksud 'dilarang'. Secara umumnya, penutur BI takde masalah nak menggunakan perkataan verboten di samping forbidden atau dua belas sinonimnya*, walaupun perkataan verboten tu dicedok bulat-bulat dari bahasa Jerman.

*menurut Thesaurus.com

Tapi kalau kita ambik contoh ayat BM ni: "hiburan tanpa limitasi", penutur BM secara amnya akan memandang serong terhadap perkataan limitasi (dimelayukan dari perkataan BI limitation bermaksud 'had'). Mereka akan berkata 'takde perkataan lain ke boleh guna selain limitasi? Cakap hiburan tanpa had pun boleh'. Seboleh-bolehnya, penutur-penutur BM akan menekankan pencarian istilah bahasa Melayu untuk menggantikan perkataan pinjaman dari bahasa asing terutamanya BI, dan memandang serong terhadap penterjemah dan penulis yang wewenang memelayukan perkataan BI dalam hasil kerja mereka.

Tapi sikap curiga ni selalunya hanya dizahirkan kepada perkataan yang dipinjam dari BI. Majoriti penutur BM takde masalah dengan perkataan yang dipinjam dari bahasa Sanskrit dan Arab. Mungkin kerana BM mempunyai pertalian yang erat dengan kedua-dua bahasa tu; Sanskrit dituturkan sejak beribu-ribu tahun dulu di Nusantara, dan Arab dibawa oleh pedagang Timur Tengah ke Tanah Melayu sejak 600 tahun dulu. Sebagai perbandingan, BI hanya dituturkan di Tanah Melayu sejak 200 tahun dulu, lebih kurang.

Tapi dalam zaman BI menjadi lingua franca dunia sekarang, tak dapat tidak sedikit pengaruh BI tu meresap jugak ke dalam BM, lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi maklumat. Penutur BM secara kasarnya lebih suka menggunakan mouse daripada tetikus. Jadi adakah sikap curiga BM terhadap perkataan pinjaman ni sudah tak relevan sekarang? Adakah penutur BM perlu bersikap lebih liberal terhadap peminjaman perkataan dari bahasa asing?

Adakah mouse perlu dipinjam ke dalam BM untuk menjadi maus?

Satu benda yang kerapkali menarik perhatian aku ialah penggunaan so (penanda wacana dari BI bermaksud 'jadi') dalam pertuturan harian penutur BM. Contohnya macam ni: so kita akan buat pemantauan dalam tempoh terdekat. Satu lagi contoh ialah so kita nak buat pe malam ni?

Aku berani cakap bahawa 99.99% penutur BM sekarang menggunakan so dalam percakapan mereka. Tak kisahlah ahli politik ke, budak kecik ke, ahli bahasa ke. Walaupun si polan ni bercakap BM piawai, aku jamin akan ada so dalam percakapan dia. Jadi aku rasa wajar so tu kita pinjam je ke dalam BM di samping jadi. Kita tak menggantikan jadi tapi kita cuma tambah so untuk membawa makna yang sama. Bagi aku, tak masuk akal kalau so kekal dipandang sebagai perkataan asing jika ia dah acap kali digunakan oleh hampir semua penutur BM.

Adakah cadangan aku tu bertentangan dengan sikap penutur BM terhadap perkataan pinjaman?

P/s: Artikel sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16 September 1963.

Saturday, August 20, 2011

Kesalahan Putih, Keegoan Coklat


Terdapat sesetengah orang Melayu yang tak boleh menerima iklan di TV yang menggunakan bahasa Tamil, Cina dan sesekali Inggeris di samping bahasa Melayu. Ada jugak yang tak betah dengan iklan yang memaparkan kaum Cina dan India di samping Melayu. Ditambah pulak dengan sesetengah pihak yang membantah penyertaan tarian Cina dan India dalam persembahan zapin. Aku tau semua ni sebab orang-orang ni sendiri yang menyuarakan pendapat mereka dalam akhbar.

Aku malas nak komen lebih-lebih, sebab isu hubungan kaum di Malaysia ni sama dengan isu Israel-Palestin. Sampai bila-bila pun takkan selesai. Cuma aku nak bercerita sikit tentang cara masyarakat kulit putih yang menjadi majoriti di banyak negara, sepertimana orang Melayu menjadi majoriti di Malaysia, menghadapi kepelbagaian budaya.

Wujud sebuah konsep dalam sosiologi yang digelar white guilt, iaitu rasa bersalah yang dialami oleh orang kulit putih, natijah penjajahan dan penindasan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka terhadap bangsa bukan kulit putih selama berates-ratus tahun. Seperti yang kita tahu, orang kulit putih dari Eropah telah menjajah semua benua di planet Bumi ni kecuali Antartika.

Sebagai contoh, orang Portugis menjajah Melaka, orang Perancis menjajah Algeria, orang Belanda menjajah Indonesia, orang Jerman menjajah Namibia, orang Itali menjajah Habsyah, orang Sepanyol menjajah Mexico, dan orang British menjajah Australia, New Zealand, India dan Amerika Syarikat. Sepanjang zaman kolonial, berjuta-juta orang bukan kulit putih di jajahan-jajahan ini dibunuh dan ditindas oleh orang kulit putih.

Selepas runtuhnya empayar-empayar Eropah pada pertengahan abad ke-20, timbul kesedaran dalam sebilangan waris kulit putih ni tentang betapa teruknya penindasan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka terhadap bangsa terjajah (yang kebanyakannya bukan berkulit putih). Hasil daripada kesedaran tu, orang kulit putih hari ni sebahagian besarnya cukup terbuka dengan kepelbagaian budaya orang lain kerana mereka tak mahu dicap sebagai mengulangi mentaliti nenek moyang penjajah mereka yang menindas bangsa bukan kulit putih.

Dalam cara tersendiri, penerimaan orang kulit putih terhadap budaya asing ialah satu cara mereka ingin memohon maaf atas kezaliman nenek moyang mereka sewaktu era penjajahan. Contohnya di New Zealand, masyarakat kulit putih sama-sama meraikan Tahun Baru Cina dan Deepavali bersama komuniti Cina dan India. Jadi kita dapat tengok kat sini bahawa orang kulit putih bersifat liberal dengan kepelbagaian budaya kerana mereka dibayangi oleh rasa bersalah akibat penindasan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.

Tapi orang Melayu tak menjajah siapa-siapa, jadi mereka takde rasa bersalah terhadap mana-mana kaum bukan Melayu. Lalu orang-orang macam ni tak nampak kenapa mereka kena bersifat terbuka terhadap kepelbagaian budaya. Mereka tak dibayangi oleh perasaan bersalah dan takde siapa mereka nak minta maaf. Bahkan ada sesetengah orang Melayu yang merasakan diri mereka sendiri yang tertindas akibat terpaksa berkongsi Tanah Melayu dengan kaum Cina dan India sebagai syarat mencapai kemerdekaan.

Aku percaya itulah salah satu sebab kenapa ada orang-orang Melayu yang tak selesa dengan paparan berbilang bangsa dan bahasa dalam iklan dan penyertaan tarian Cina dan India dalam persembahan seni Melayu. Apa pendapat anda?

P/s: Artikel sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16 September 1963.