Monday, March 1, 2010

C.O.P.Y.! (Curi Orang Punye Ye!)

Aku tak bersetuju dengan tindakan sekumpulan kecil penulis blog tempatan yang suka salin artikel dari blog lain untuk dimuatkan dalam blog mereka sendiri. Bagi aku, tindakan sebegitu tak mencerminkan rasa hormat terhadap usaha penulis blog yang disalin tu serta merendahkan martabat pembaca blog mereka.

Ini senario yang aku maksudkan. Mak Andeh mempunyai sebuah blog di mana dia bercerita tentang kehidupannya. Selalunya Mak Andeh bercerita tentang nasi hangus, kayu api basah, Pak Pandir kalah laga ayam, dan sebagainya. Tapi bila Mak Andeh melayari internet, dia terbaca blog orang lain yang mengandungi artikel yang bernas dan bermanfaat. Kebetulan dia terjumpa blog Si Luncai yang memang terkenal kerana dia suka tulis artikel-artikel yang bermanfaat dan mendorong kita berfikir.

Lepas tu Mak Andeh terbaca artikel Si Luncai pasal macam mana nak terapung kat laut dengan hanya sebiji tembikar labu. Mak Andeh suka artikel tu, jadi dia pun terus je salin artikel tu bulat-bulat dari blog Si Luncai tanpa bertanyakan izin Si Luncai terlebih dahulu. Ada sesetengah yang letak link kepada penulis asal, tapi ada jugak yang salin dan tak sebut langsung nama penulis atau tajuk blog asal. Artikel dari blog orang lain tu dah jadi macam dia pulak yang tulis.

Menyalin artikel blog di internet tak sama dengan memuat turun lagu atau video. Kalau kita muat turun lagu cetak rompak, orang lain masih tahu itu bukan lagu kita, sebab kita bukan penyanyi atau pemuzik. Kalau kita muat turun video cetak rompak, orang lain masih tahu itu bukan video kita, sebab kita bukan pelakon atau pengarah filem. Tapi kalau kita salin artikel blog orang lain, orang tak tahu samada artikel tu hasil karya kita atau orang lain. Si penyalin boleh buang segala maklumat pasal penulis asal dan salin apa yang dia nak je. Justeru, cetak rompak artikel blog sebenarnya lebih teruk dari cetak rompak lagu atau video sebab ia betul-betul menepati maksud 'rompak'.

Menyalin artikel orang lain ialah satu ketidakadilan kepada penulis blog asal yang penat-penat menulis dan membuat research tentang fakta-fakta berkaitan. Lagipun pembaca yang datang ke blog seseorang mengharapkan hasil tulisan dari orang itu. Kalau mereka nak baca tulisan Si Luncai, mereka datang ke blog Si Luncai. Tapi bila pembaca datang ke blog Mak Andeh dan dihidangkan dengan hasil tulisan Si Luncai, mereka akan rasa ditipu. Baik tak payah baca blog Mak Andeh, artikel dia pun ambik dari blog orang lain.

Tapi motif sebahagian kecil penulis blog ni perlu diperhalusi sebelum apa-apa tuduhan dilemparkan. Sekadar yang aku nampak, kegiatan blogging di Malaysia ni masih berada pada tahap peribadi. Penulis blog tempatan jarang menulis artikel-artikel bermaklumat untuk bacaan umum. Sebahagian besarnya menulis blog kerana nak meluahkan isi hati. Justeru mereka mungkin fikir 'ah takde siapa yang baca blog aku, kalau aku salin je pun apa salahnya, bukan orang tahu'. Atau mungkin mereka tak berniat langsung nak berbuat jahat, sebaliknya mereka hanya nak berkongsi artikel yang bagus dengan pembaca.

Justeru itu, aku tak rasa sebahagian kecil penulis blog yang suka salin semberono ni orang yang jahat. Sebaliknya, aku rasa mereka ni kurang kesedaran mengenai pentingnya menghormati hasil tulisan dan kajian orang lain. Oleh kerana mereka tak tahu, jadi mereka tak rasa perbuatan mereka tu salah. Lalu mereka ni perlu diberi makluman. Kalau dah bagitahu pun masih teruskan jugak, memang sah la jahat. Tapi perbuatan salah tetap salah, walaupun motifnya baik.

Jadi macam mana penulis blog nak berkongsi artikel yang bagus dengan pembaca tanpa dituduh menciplak? Ini aku bagi tiga cadangan:

  • Petik satu dua perenggan dari artikel tu dan letakkan link ke blog asl supaya pembaca boleh membaca keseluruhan artikel.
  • Perkenalkan idea utama artikel yang anda nak kongsi tu dan curahkan pendapat anda sendiri mengenai idea yang diketengahkan tu. Akhir sekali letakkan link ke blog asal.
  • Ringkaskan artikel asal menggunakan ayat anda sendiri sebanyak 500 patah perkataan. Lepas tu letakkan link ke blog asal.

Aku mengaku, aku pun pernah buat jugak kegiatan menyalin artikel dari blog orang satu ketika dulu. Tapi masa tu aku masih mentah. Sekarang aku dah sedar apa yang aku buat tu salah. Jadi kalau aku boleh capai kesedaran tentang perkara ni, aku rasa orang lain pun boleh.

Jangan terasa hati pulak mana-mana penulis blog yang membaca artikel ni. Aku tak sasarkan sesiapa, aku cuma mengetengahkan satu idea baru.