Sempena ulangtahun ke-54 kemerdekaan
Malaysia dari penjajahan British, aku nak buat spekulasi sikit tentang apa yang
akan terjadi jika Malaysia tak berjaya merdeka dari British.
Pertama sekali aku
tertanya-tanya jika Perang Dunia Kedua tak berlaku dan British kekal menguasai
Malaysia sehingga abad ke-21, adakah perkara-perkara ini akan berlaku?
- Malaysia akan dihuni oleh pemukim-pemukim kulit putih seperti yang berlaku di Amerika Syarikat (pra-1776), Kanada, Afrika Selatan, Australia dan New Zealand.
- Malaysia akan mencapai tahap kemajuan ekonomi yang setaraf dengan negara-negara tersebut.
Tujuan aku bertanyakan
soalan-soalan tu ialah kerana Negara-negara tersebut (kecuali Amerika Syarikat)
mempunyai sejarah kolonialisme yang hampir serupa dengan Malaysia; mereka semua
telah dijajah oleh British selama 200 tahun, lebih kurang. Jadi kalau mengikut
peredaran sejarah, Malaysia juga patut mengalami keadaan sosiopolitik yang sama
dengan negara-negara tersebut jika ia kekal dijajah British sehingga abad ke-21.
Tapi jawapan peribadi aku
untuk kedua-dua soalan itu ialah:
- Tidak
- Mungkin
Sebab kenapa aku menjawab
'Tidak' untuk soalan pertama ialah kerana pemukim-pemukim kulit putih dari Eropah
takkan menganggap Malaysia sebagai destinasi hidup yang bagus seperti Australia
dan New Zealand. Iklim dan persekitarannya terlalu berlainan dengan apa yang
mereka dah terbiasa di Eropah. Walaupun geologi, flora dan fauna di Afrika
Selatan, Australia dan New Zealand begitu asing berbanding di Eropah, paling
tidak mereka mengalami iklim empat musim yang juga dialami di Eropah; berlainan
dengan Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.
Mungkin sekarang ramai
pelancong asing dari Eropah datang ke Malaysia kerana mereka menganggap iklimnya
selesa dan eksotik, tapi jika anda seorang pemukim dari Eropah 200 tahun dahulu
yang menyeberang laut untuk memulakan hidup baru di tanah jajahan negara anda,
anda takkan menganggap iklim dan persekitaran Malaya sebagai sesuatu yang
selesa dan eksotik. Semestinya anda akan menderita begitu teruk dalam proses menyesuaikan
diri dengan persekitaran baru semasa berusaha untuk mencari sesuap roti (sebab
orang putih tak makan nasi).
Mungkin jika British kekal
menguasai Malaya, akan ada juga pemukim kulit putih yang datang, tetapi mereka
ni akan terdiri dari pegawai kerajaan British, anggota tentera, pedagang yang
sekadar singgah, atau mungkin pencari emas. Pendek kata, orang-orang kulit putih
yang bermukim di Malaya ni samada kerana dipertanggungjawabkan untuk tinggal atau
kerana mempunyai daya tahan yang tinggi. Takkan ada pemukim kulit putih di
zaman dahulu yang sukarela hendak tinggal dan
memulakan keluarga di satu negara yang begitu berlainan sekali iklim dan
persekitarannya dari Eropah. Silap-silap mati sebab iklim terlalu panas atau
kebulur tak makan.
Untuk jawapan kepada soalan
kedua, aku menjawab 'Mungkin' sebab Malaya mempunyai potensi untuk menjadi kawasan
yang sangat maju dari segi perdagangan. Selat Melaka merupakan laluan kapal
dagang yang paling sibuk di dunia, dan pulau Singapura ialah tapak pelabuhan
yang sungguh strategik. Jadi jika British kekal menguasai Malaya dan Singapura,
ia dapat menguasai perdagangan laut antara Eropah dan Asia. Ini berpotensi
menjana kemajuan untuk Malaya. Kalau difikirkan, New Zealand yang terletak nun
jauh di hujung Lautan Pasifik (tempat jin bertendang) pun boleh mencapai tahap
kemajuan negara dunia pertama; inikan pulak Malaya dan Singapura yang terletak
di tengah-tengah laluan dagang antara benua.
Tetapi harus diingat,
kemajuan yang mungkin dicapai tu untuk siapa? Seperti yang aku ulas tadi, besar
kemungkinan tiada populasi pemukim kulit putih yang besar di Malaya untuk membolehkan
ia digelar sebagai British Dominion seperti mana Kanada,
Australia dan New Zealand. Malaya hanya akan kekal sebagai BritishColony yang
hanya berguna buat British mengaut hasil bumi dan dihantar ke Britain dan dominion-dominion
lain.
Masyarakat di Malaya besar kemungkinan takkan dapat menikmati hasil kemajuan
negeri mereka sendiri kerana semuanya telah diangkut balik ke Eropah oleh
British. Jadi mungkin Malaya boleh mencapai kemajuan di bawah pemerintahan British,
tapi ke mana hasil kemajuan tu digunakan ialah satu persoalan lain.
Justeru itu, aku
menyimpulkan bahawa kalau Malaysia kekal dijajah British sehingga sekarang,
Malaya boleh maju tetapi bukanlah masyarakat Malaysia yang menerima faedahnya.
P/s: Artikel sempena
ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16
September 1963.
No comments:
Post a Comment