Friday, August 13, 2010

Jangan Jadi Jahlul


Terlebih dahulu aku mengucapkan selamat berpuasa kepada pembaca yang beragama Islam. Diharap pada bulan Ramadan ini pahala anda bertambah-tambah, rezeki anda mencurah-curah dan air tebu dalam jag di meja makan anda melimpah ruah.

Antara perkara yang diberi keutamaan bila menjelangnya bulan puasa ialah menjaga mulut dari mengumpat dan mengata perihal orang lain. Kurang pahala puasa, kata ustazah aku. Secara amnya, apa-apa pertuturan kita yang mungkin menyinggung perasaan orang lain haruslah dikurangkan sepanjang Ramadan ini.

Tapi tahukah anda bahawa anda mampu menyinggung perasaan orang lain dengan pertuturan anda walaupun anda tak berniat langsung nak mengumpat atau mengata? Perkataan baru yang aku cipta bagi fenomena ini ialah 'jahlul'. Aku suka hati je cipta perkataan sendiri sebab aku tak tahu ada ke perkataan yang mampu menggambarkan fenomena ni dengan seadanya.

Jahlul bermaksud bercakap tanpa ilmu. Ia terdiri dari gabungan perkataan 'jahil' dan 'bahlul'. Jahil bermaksud bodoh atau tak berilmu, dan bahlul bermaksud cakap lepas atau semberono (ini makna yang aku beri sendiri). Secara amnya, orang yang bersifat jahlul suka meluahkan sesuatu tanpa ada ilmu tentang perkara yang diperkatakan itu. Juga, selalunya orang yang jahlul suka bercakap tanpa berfikir dulu tentang kesannya terhadap orang lain.

Sebagai contoh, Si Luncai yang mengkritik rakan beliau, Pak Pandir, kerana tidak mahu menyertai acara berbuka puasa di restoran adalah seorang jahlul. Si Luncai tidak tahu apa sebabnya Pak Pandir enggan menyertai mereka: mungkin kerana dia ingin menghabiskan masa dengan keluarga, mungkin kerana dia ingin berjimat cermat atau mungkin masakan isterinya lebih sedap dari hidangan di restoran. Walaupun Si Luncai tidak tahu, dia terus mengeluarkan kritikan tersebut. Itu boleh dikategorikan sebagai jahlul. Walaupun Si Luncai tidak berniat langsung hendak melukakan hati Pak Pandir, hati Pak Pandir telahpun terluka dek kejahlulan beliau. Jika pun Pak Pandir tidak mendengar kritikan tersebut, orang lain yang tahu mengapa Pak Pandir bertindak sedemikian akan merasa tidak selesa juga.

Maka sia-sialah Si Luncai menahan diri dari mengata dan mengumpat sepanjang hari kerana kejahlulan beliau telah dibalas dengan dosa kering serentak dengan tersinggungnya perasaan Pak Pandir dan orang-orang di sekeliling yang mendengar.

Bagaimana anda boleh mengelak dari terjerumus ke lembah kejahlulan? Anda seharusnya ambil tahu tentang banyak benda: mengapa Pak Pandir tak mahu berbuka bersama-sama,
mengapa penganut Hindu tak boleh makan daging lembu, dan sebagainya. Kalau anda dah tahu, baru anda boleh buka mulut. Kalau tak tahu, jangan buka mulut; lebih baik diam dan perhati. Sebelum anda membuka mulut, peruntukkan sesaat dua untuk berfikir tentang kesan pertuturan anda terhadap orang lain. Mungkin anda fikir anda tahu kenapa Pak Pandir tak mahu berbuka bersama-sama, tapi anda mungkin silap di situ. Jadi fikir dahulu sebelum bercakap, tak usah terburu-buru. Dua saat boleh menentukan samada anda seorang jahlul yang bakal menerima hamper dosa kering ataupun tidak.

Jika anda bukan seorang jahlul tapi tidak sengaja telah melakukan kejahlulan, minta maaf dengan ikhlas kepada mangsa kejahlulan anda. Jika anda seorang jahlul sejak azali lagi, maka selamat menerima dosa kering. Tak dapek den nak nolong.

Selamat berpuasa dan jangan jadi jahlul!

Terima kasih kerana membaca
Botak