Friday, February 26, 2010

Parti Beg Kertas

Tahukah anda tentang parti beg kertas?

Antara tahun 1900 hingga 1950 di New Orleans, Amerika Syarikat, parti beg kertas merupakan acara yang sering diadakan di kalangan masyarakat tempatan berkulit hitam. Parti ini dinamakan sedemikian kerana sebelum dibenarkan masuk, pengunjung diwajibkan melalui satu ‘ujian beg kertas’ di muka pintu.

Satu beg kertas berwarna coklat dipegang di sebelah muka setiap pengunjung parti, dan jika tona kulit pengunjung berkenaan lebih gelap dari tona beg kertas itu, beliau dilarang masuk. Tetapi sekiranya tona kulit pengunjung tersebut lebih cerah dari beg kertas, beliau dialu-alukan menyertai parti itu.

Ini ialah salah satu contoh diskriminasi di kalangan masyarakat kulit hitam, di mana mereka yang mempunyai tona kulit yang lebih cerah (walaupun masih berkulit hitam) dianggap mempunyai keistimewaan yang lebih berbanding mereka yang mempunyai tona kulit gelap. Mentaliti ini sama sekali tidak rasional dan tidak mempunyai asas yang kukuh dari segi saintifik dan moral. Tona kulit bukan penentu kehebatan seseorang.

Malangnya, kini sindrom ujian beg kertas telah berakar di kalangan masyarakat Malaysia dalam iklan krim pencerah kulit di kaca televisyen. Krim-krim ini dipasarkan bersama tolok kecerahan kulit yang dicetak dengan tona yang paling gelap kepada yang paling cerah. Tolok ini disertakan untuk membantu pengguna mengukur kecerahan kulit mereka selari dengan kemujaraban krim tersebut.

Tolok itu ialah beg kertas, dan kita ialah masyarakat yang sibuk hendak memastikan bahawa tona kulit kita lebih cerah dari tona paling cerah yang ditunjukkan di tolok itu. Jika kita berjaya mendapat tona kulit sedemikian, kita rasa bangga dan penuh keyakinan. Kita berjaya mendapat jemputan ke parti kehidupan, di mana kita akan bertemu dengan orang-orang yang sukses, berkaliber, berharta, dan semestinya, berkulit cerah.

Sebaliknya, jika tona kulit kita lebih gelap dari tona yang kita mahukan, kita rasa rendah diri dan hilang keyakinan. Kita tak dibenarkan masuk ke parti. Kita tidak mendapat peluang untuk bersosial dengan orang-orang berstatus tinggi (dan berkulit cerah) dalam parti kehidupan. Dan kita pun terus-terusan menggosok dan menepek krim pencerah ke muka kita, dengan harapan sesi seterusnya bersama tolok kecerahan akan membuahkan hasil dan kita berjaya dijemput ke parti.

Kita asyik mahsyuk mencerahkan kulit sementara orang lain bangkit maju.

Wednesday, February 10, 2010

Pinggan Mangkuk Dalam Almari!

Aku pasti ramai tahu tentang amalan memperagakan pinggan mangkuk dalam almari. Mungkin rumah anda mempunyai almari sedemikian, atau mungkin anda pernah melihatnya di rumah orang lain. Yang penting, tradisi mempamerkan pinggan mangkuk dalam almari memang menjadi kebiasaan sebahagian besar isi rumah Malaysia.

Kat rumah aku dulu ada sebuah almari yang digunakan untuk memperagakan set pinggan mangkuk. Seingat aku, set pinggan mangkuk yang diperagakan tu tak pernah dipakai walau sekali pun. Ia cuma kekal di dalam almari tu dan pintu almari tu tak pernah dibuka.

Bagi aku, tradisi ni berakar dari tahun 70'an di mana rekabentuk pinggan mangkuk dari Barat mulai masuk ke Malaysia, dan orang mulai membeli pinggan mangkuk reka bentuk terkini sebagai simbol status. Ia dah tak relevan pada abad ke21 ni, sebab status dah diukur dengan benda lain seperti peranti canggih (cth: iPhone). Tak main dah pinggan mangkuk.

Aku tak bersetuju dengan amalan memperagakan pinggan mangkuk dalam almari ni atas beberapa sebab, antaranya:
  • ·         kerana ia membazir wang dan tenaga
  • ·         kerana ia tak membawa faedah
  • ·         kerana ia mengundang penyakit
  • ·         kerana ia mengundang rasa iri hati

Kalau nak pamerkan pinggan mangkuk kat tetamu, kena la beli pinggan mangkuk yang mahal. Takkan nak beli set pinggan mangkuk plastik yang orang buat makan moreh kat surau. Dan pinggan mangkuk yang mahal perlukan almari yang mahal untuk memperagakannya. Kualiti pinggan mangkuk berkait rapat dengan kualiti almari peragaan. Maka dah jadi dua kali mahal. Tak ke membazir namanya tu. Tambah pulak kalau almari tu diterangi oleh cahaya mentol untuk menyerlahkan kerlipan pinggan mangkuk mahal yang diperagakan. Kalau mentol tu menggunakan 2 watt tenaga setiap malam, maka 730 watt telah dibazirkan dalam masa setahun. Bukan saja membazir duit, malah tradisi ini menyumbang ke arah pemanasan global.

Selalunya pinggan mangkuk yang diperagakan tu terlalu mahal untuk digunakan sehari-hari. Takut pecah atau sumbing. Jadi set tu hanya kekal dalam almari dan tak digunakan. Aku tak nampak faedah membeli pinggan mangkuk kalau ia tak digunakan untuk makan. Kalau aku terasa nak pamerkan sesuatu, aku beli arca atau lukisan. Aku tak beli pinggan, kerana pinggan dicipta untuk diletakkan nasi dan lauk. Kegagalan menggunakan pinggan mangkuk sebagai tempat mengisi makanan ialah satu kezaliman kepada objek tersebut, di samping melambangkan kebodohan jitu si pempamer.

Pinggan mangkuk yang tak digunakan dalam almari peragaan akan mengumpul habuk. Ini boleh mendatangkan bahaya kepada penghidap asma dan penyakit paru-paru. Di samping tu, pengumpulan habuk juga boleh menjadi habitat kepada hama. Hama ni boleh mengakibatkan alahan dan lelah.

Tujuan seseorang mempamerkan pinggan mangkuk dalam almari ni selalunya untuk menunjukkan kepada tetamu yang datang bahawa dia banyak duit. Dia mampu beli pinggan mangkuk yang mahal-mahal. Almari yang mahal menambahkan lagi kekuatan penerajang simbolik ke arah batang hidung tetamu yang datang. Ini boleh menimbulkan perasaan riak, takbur, hasad dengki dan iri hati. Semuanya bukan sifat terpuji yang membawa ke syurga. Maka berbangkit dari nafsu ingin bersaing, tetamu tu beli pinggan mangkuk yang lebih mahal, sampai keperluan rumah yang lebih mendesak seperti pelajaran anak-anak diabaikan.

Aku tak kuasa nak tegur mereka yang masih mengamalkan tradisi ni, sebab ianya dah berakar dalam diri mereka. Kalau ditegur, nanti marah pulak. Apa yang aku boleh buat ialah tidak mengulangi tradisi ni bila aku punyai rumah sendiri. Aku takkan beli pinggan mangkuk semata-mata untuk dipamerkan. Kalau aku nak beli almari peragaan, aku akan beli yang murah saja, dan aku akan isi dengan buku-buku untuk menggalakkan budaya membaca di kalangan keluarga aku. Kalau tak pun, aku isikan gambar-gambar keluarga atau memorabilia percutian. Banyak lagi cara aku nak tunjukkan kat orang yang aku ni hebat, tak payah gunakan pinggan mangkuk. Pinggan mangkuk untuk aku makan nasi.

Monday, February 1, 2010

Loghatlah, Slang Lain!

Sesekali ku rasa teringin nak membawa perhatian pembaca budiman kepada satu kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai bila bercakap tentang bahasa (tak kisah la bahasa Melayu ke, Inggeris ke, Swedish ke).

Kalau aku bersama rakan taulan menonton TV dan kebetulan ada filem British bersiaran, aku selalu dengar komen dari rakan taulanku tentang slang pelakon British tu yang pekat gila sampai diorang tak faham apa yang sedang dituturkan beliau. Atau apabila ada watak Negro dalam filem Amerika, selalu jugak ada komen tentang slang beliau yang penuh keNegroan sampai tak faham sang penonton dibuatnya.

Itu loghat (accent), bukan slang.

Slang tu bermaksud apa-apa perkataan atau istilah yang digunakan oleh sekelompok orang dan istilah tersebut tak ada dalam bahasa standard, dan hanya orang-orang dalam kelompok tu je yang faham makna slang tersebut. Contoh slang ialah perkataan “gila” atau “cara”. Kalau korang bagitau nenek korang “kuih ni memang gila cara la nek” padahal nenek korang tidak mempunyai sejarah penyakit mental dan kuih tersebut ialah kuih koci dan bukan kuih cara, nescaya korang tidak akan menerima belaian kasih sayang seorang nenek melainkan pelempang yang jitu adanya. Nenek korang tak faham makna perkataan “cara” dan “gila” yang korang maksudkan, sebab dia bukan tergolong dalam kelompok korang. Itu ialah contoh slang.

Loghat tu lagi besar skopnya dari slang. Ia merangkumi sebutan, nahu, tatabahasa dan sebagainya yang membolehkan orang tahu engkau berasal dari daerah, negeri, negara mana dan engkau tahu dari daerah, negeri, negara mana si polan berasal. Semua orang ada loghat. Jangan nak tipu kata korang tak ada loghat korang cuma dah terbiasa dengan loghat korang sendiri. Kalau korang pergi ke daerah atau negeri yang loghatnya lain dengan korang punya, diorang yang akan cakap korang ada loghat. Contohnya kalau korang cakap Melayu loghat KL pastu pergi Kedah, orang Kedah akan cakap korang ada loghat.

Baiklah. Kita ambik contoh si Jamlus. Jamlus menyebut “pergi” sebagai “poie” dan “engkau” sebagai “ekau”. Dia bertutur dengan nada yang agak tinggi. Dari manakah si Jamlus berasal? (bulatkan jawapan yang tepat)

a. Ranau
b. Rinching
c. Rembau
d. Rawang

Jawapan: C, sebab itu antara ciri-ciri loghat Negeri Sembilan. Itu bukan slang.

Jadi kalau korang tengok TV, dengar pelakon tu bercakap dan tau “oh watak dia ni orang Kelantan” atau “mamat ni cakap British”, hendaklah korang tau apa yang korang dengar tu adalah loghat, bukan slang. Kalau dia cakap guna slang, sepatah haram pun korang takkan faham apa dia cakap. Kalau korang faham, itu bukan slang dah. Juga elakkan penggunaan slang bila bercakap dengan nenek. Anda mampu mengubahnya.