Monday, September 5, 2011

Obses Makanan Kesihatan?


Pengamatan aku mendedahkan sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya yang berbangsa Melayu (tapi bangsa lain pun ada jugak), begitu obses dengan makanan kesihatan. Macam-macam pil, kapsul, kopi, teh, minyak, air, serbuk, dan serdak dijual dalam pek beraneka rupa dan warna untuk menjanjikan penyembuhan dari segala macam penyakit serta meningkatkan kualiti hidup.

Nak salahkan penjual makanan kesihatan 100 peratus pun tak boleh, sebab diorang hanya memenuhi permintaan pengguna, selari dengan konsep pasaran bebas yang diamalkan dalam sistem ekonomi di Malaysia. Kalau takde permintaan dari pengguna, takdelah penjualan. Tapi kebanjiran makanan kesihatan di pasaran tempatan ni memang satu fenomena yang aku rasa wajar diberi sedikit perhatian.

Pada satu segi, aku memang menyokong pengeluaran makanan kesihatan ni sebab ia menandakan budaya keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia sedang subur dan berkembang. Banyak usahawan, banyaklah cukai, dan natijahnya banyaklah hasil ekonomi negara. So bolehlah Malaysia muncul sebagai negara maju berpendapatan tinggi dengan lebih cepat.

Kemunculan usahawan makanan kesihatan berbangsa Melayu dapat meningkatkan taraf ekonomi bangsa tersebut, sepertimana yang disasarkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Lagipun berniaga makanan kesihatan ni halalan tayyiban, asalkan makanan kesihatan tu tak mengandungi bahan-bahan yang memudaratkan atau takde penipuan yang berlaku dalam urusniaga.

Pada segi yang lain, obsesi terhadap makanan kesihatan ni semacam mengisyaratkan bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia hanya bergantung kepada makanan kesihatan untuk menjaga kesihatan diorang. Contohnya, kalau nak mengelakkan kencing manis atau darah tinggi, kena makan pil cap ayam atau minyak cap kuda. Kenapa terlalu fokus kepada makanan tambahan untuk mengelakkan penyakit? Kenapa tak fokus kepada amalan pemakanan sihat atau senaman untuk membasmi penyakit-penyakit dari puncanya?

Bagi aku, makanan kesihatan tu bukan satu batu geliga yang mampu menyembuhkan penyakit dengan kuasanya sendiri. Kalau ada pun kesannya, hanya sedikit, kerana yang memberi kesan paling besar ke arah mengelakkan penyakit ialah amalan kesihatan kita sendiri. Kalau dok melantak pil atau minum kopi hikmat bertahun-tahun tapi makan makanan tak seimbang serta tak bersenam, tak guna jugak.

Apa pendapat anda?

P/s: Artikel sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16 September 1963.