Saturday, May 29, 2010

Home » , , , » Bukan Salah Ibu Mengandung

Bukan Salah Ibu Mengandung


Kali ni aku nak cerita pasal hal pelajaran dan akademik. Ramai orang yang aku dengar masuk sekolah XYZ, ambik kertas XYZ atau masuk kursus XYZ kerana ibu bapa atau keluarga yang suruh. Dalam erti kata lain, mereka terpaksa kerana kemahuan keluarga. Ikut hati macam tak nak buat sebab tak berminat, tapi kerana harapan mak bapak, terpaksa la buat kertas sekian-sekian atau masuk kursus sekian-sekian, anak yang baik tak sampai hati nak lawan cakap ibu bapa.

Aku tak bermaksud nak tunjuk pandai menegur para ibu bapa yang dihormati, tapi aku cuma nak menggariskan pendapat aku tentang hal ni. Makcik dan pakcik jangan marah pulak sebab ini cuma pendapat peribadi aku yang berdasarkan pengamatan dan hemat sendiri. Kalau aku ada anak, aku akan buat pilihan untuk perjalanan akademik dia setakat sekolah rendah saja, dari darjah satu sampai darjah enam. Aku buat camtu sebab kau pun tahu yang budak-budak kecik belum pandai buat keputusan sendiri, jadi mak bapak la yang kena ambil bahagian dan tentukan arah akademik diorang. Lagi pun sekolah rendah ni mudah dan ringkas, tak payah lagi nak pilih jurusan macam universiti dan sebagainya. Pagi pegi sekolah, belajar, petang balik.

Tapi bila dah habis sekolah rendah dan mula nak melangkah ke sekolah menengah, aku akan bagi pilihan kat anak aku sekolah mana dia nak sambung. Kadang-kadang senang sebab kalau tempat tinggal korang ada sekolah menengah, masuk je sekolah tu, habis cerita. Tapi kalau dia dapat tawaran sekolah asrama ABC dan sekolah asrama XYZ, maka di situ aku akan mula bagi kebebasan kat dia untuk pilih sekolah mana yang dia nak. Semestinya aku akan ada preference sendiri berkenaan sekolah mana yang aku rasa anak aku patut masuk, tapi seboleh-bolehnya aku akan biarkan anak aku buat pilihan sendiri.

Dalam masa yang sama, takde la aku biarkan anak aku terkapai-kapai tak tau apa benda yang dia kena buat, jadi aku akan tolong anak aku buat research tentang tiap-tiap pilihan yang dia ada. Sebab menurut pengamatan aku, kadang-kadang orang yang salah pilihan ni tak buat research dan homework terlebih dulu, dia asyik melangut fikir 'nak buat A ke nak buat B?’, akhir sekali pilihan mereka dipengaruhi emosi. Pilihan yang bijak tu dibuat berdasarkan maklumat.

Pendek kata, dalam apa jua cara pun aku akan tolong anak aku pertimbangkan tiap-tiap pilihan yang dia ada, tapi bila nak memilih, dia sendiri yang kena pilih, aku tak campur. Aku buat macam ni sebab aku nak anak aku bertanggungjawab terhadap hidup dia sendiri. Aku tak nak anak aku cakap “ni semua abah punya pasal!!” sebab aku paksa dia pilih B walaupun dia sebenarnya nak pilih A (ataupun C, D, E...) sebab aku akan rasa bersalah yang amat. Tapi kalau dia sendiri yang pilih, dia la yang kena tanggung kesan daripada pilihan dia. Kalau anak aku sendiri pilih masuk sekolah asrama pastu kena ragging basuh baju senior dan sebagainya, dia tak boleh salahkan aku sebab dia dan aku dah kumpul maklumat yang secukupnya tentang baik buruk sekolah asrama, dan berdasarkan maklumat tu, dia sendiri yang buat pilihan. Jadi dari kecik dia dah tau yang berani buat berani tanggung, atau dalam pepatah Inggerisnya 'you reap what you sow'.

Lagipun zaman dah berubah. Dulu perspektif sangat stereotaip, masuk sekolah asrama memang gila berprestij, tempat budak-budak pandai belajar. Sekolah teknik untuk budak-budak lemah akademik. Masuk aliran sastera gerenti jadi cikgu. Lelaki ambik fizik atau mekanik, perempuan ambik biologi atau masakan. Belajar overseas memang gila hebat, belajar universiti tempatan tak hebat. Jadi doktor atau jurutera lagi hebat dari jadi guru tadika atau ahli muzik.

Tapi sekarang dah lain. Sebab aku generasi sekarang dan sebab aku dah melalui hampir kesemua keadaan yang aku sebutkan di atas, jadi perspektif aku lebih liberal. Aku tahu yang budak sekolah harian sama je dengan budak sekolah asrama, aku tahu kadang-kadang perempuan lebih hebat dalam subjek fizik dari lelaki, dan aku tahu yang belajar overseas ni sama je dengan belajar dalam negara (kecuali bab budaya la). Jadi aku takkan impose perspektif aku ke atas anak aku kalau dia kena buat pilihan, sebab perspektif aku bukan perspektif zaman dulu.

Dan aku takkan paksa anak aku ambik Kejuruteraan Awam atau masuk maktab perguruan hanya sebab aku tak pernah dengar orang ambik Astronomi. Kalau dia nak buat Astronomi, buatlah, tapi kena la timbang baik buruk sebelum memilih. Ada ke peluang pekerjaan untuk ahli astronomi? Susah ke senang belajar astronomi? Soalan-soalan macam tu lah. Sebab walaupun aku tahu yang graduate kejuruteraan dan perguruan ni memang terjamin peluang kerjaya, tapi kalau jasmani dan rohani anak aku menderita sebab tak suka belajar pasal perguruan tapi dia buat kerana kehendak aku, aku la yang bersalah dalam hal ni, bukannya anak aku.

Lagipun kalau anak aku diberi biasiswa atau tajaan untuk buat sesuatu yang dia tak suka semata-mata kerana aku nak dia ambik tajaan tu, maknanya aku yang berdosa sebab bazirkan duit rakyat. Lebih baik duit tu diberi kepada orang lain yang memang berminat, kalau aku kena keluarkan duit sendiri untuk anak aku buat sesuatu yang dia suka, dia mampu buat dan dia mampu berjaya, aku tak kisah.

Suka aku tegaskan di sini yang kebebasan untuk memilih ni hanya berkaitan dengan perjalanan akademik anak aku je, sebab nak tak nak, aku kena mengaku yang belajar tu bukan aku, tapi anak aku. Bukan aku yang akan jadi cikgu, anak aku yang akan jadi cikgu, dan dia yang akan mengawal hidup dia sendiri. Ini pilihan jangka panjang. Jadi tak logik kalau aku dok mengarah dia jadi doktor walaupun dia nak jadi cikgu. Bukan aku yang jadi doktor karang. Tapi bab-bab lain yang jangka pendek aku masih akan kawal, macam bersosial dan perbelanjaan dan sebagainya.

Aku tak nak anak aku salahkan aku nanti bila hidup dia teruk sebab dia tak boleh buat apa yang dia nak dek kerana kehendak aku, jadi aku nyatakan pendirian aku sekarang yang aku akan bagi dia pilih sendiri apa dia nak buat dengan akademik dia.

No comments: