Friday, February 26, 2010

Home » , , , » Parti Beg Kertas

Parti Beg Kertas

Tahukah anda tentang parti beg kertas?

Antara tahun 1900 hingga 1950 di New Orleans, Amerika Syarikat, parti beg kertas merupakan acara yang sering diadakan di kalangan masyarakat tempatan berkulit hitam. Parti ini dinamakan sedemikian kerana sebelum dibenarkan masuk, pengunjung diwajibkan melalui satu ‘ujian beg kertas’ di muka pintu.

Satu beg kertas berwarna coklat dipegang di sebelah muka setiap pengunjung parti, dan jika tona kulit pengunjung berkenaan lebih gelap dari tona beg kertas itu, beliau dilarang masuk. Tetapi sekiranya tona kulit pengunjung tersebut lebih cerah dari beg kertas, beliau dialu-alukan menyertai parti itu.

Ini ialah salah satu contoh diskriminasi di kalangan masyarakat kulit hitam, di mana mereka yang mempunyai tona kulit yang lebih cerah (walaupun masih berkulit hitam) dianggap mempunyai keistimewaan yang lebih berbanding mereka yang mempunyai tona kulit gelap. Mentaliti ini sama sekali tidak rasional dan tidak mempunyai asas yang kukuh dari segi saintifik dan moral. Tona kulit bukan penentu kehebatan seseorang.

Malangnya, kini sindrom ujian beg kertas telah berakar di kalangan masyarakat Malaysia dalam iklan krim pencerah kulit di kaca televisyen. Krim-krim ini dipasarkan bersama tolok kecerahan kulit yang dicetak dengan tona yang paling gelap kepada yang paling cerah. Tolok ini disertakan untuk membantu pengguna mengukur kecerahan kulit mereka selari dengan kemujaraban krim tersebut.

Tolok itu ialah beg kertas, dan kita ialah masyarakat yang sibuk hendak memastikan bahawa tona kulit kita lebih cerah dari tona paling cerah yang ditunjukkan di tolok itu. Jika kita berjaya mendapat tona kulit sedemikian, kita rasa bangga dan penuh keyakinan. Kita berjaya mendapat jemputan ke parti kehidupan, di mana kita akan bertemu dengan orang-orang yang sukses, berkaliber, berharta, dan semestinya, berkulit cerah.

Sebaliknya, jika tona kulit kita lebih gelap dari tona yang kita mahukan, kita rasa rendah diri dan hilang keyakinan. Kita tak dibenarkan masuk ke parti. Kita tidak mendapat peluang untuk bersosial dengan orang-orang berstatus tinggi (dan berkulit cerah) dalam parti kehidupan. Dan kita pun terus-terusan menggosok dan menepek krim pencerah ke muka kita, dengan harapan sesi seterusnya bersama tolok kecerahan akan membuahkan hasil dan kita berjaya dijemput ke parti.

Kita asyik mahsyuk mencerahkan kulit sementara orang lain bangkit maju.

No comments: