Kat rumah aku
dulu ada sebuah almari yang digunakan untuk memperagakan set pinggan mangkuk.
Seingat aku, set pinggan mangkuk yang diperagakan tu tak pernah dipakai walau sekali
pun. Ia cuma kekal di dalam almari tu dan pintu almari tu tak pernah dibuka.
Bagi aku,
tradisi ni berakar dari tahun 70'an di mana rekabentuk pinggan mangkuk dari
Barat mulai masuk ke Malaysia, dan orang mulai membeli pinggan mangkuk reka bentuk
terkini sebagai simbol status. Ia dah tak relevan pada abad ke21 ni, sebab
status dah diukur dengan benda lain seperti peranti canggih (cth: iPhone). Tak
main dah pinggan mangkuk.
Aku tak
bersetuju dengan amalan memperagakan pinggan mangkuk dalam almari ni atas
beberapa sebab, antaranya:
- · kerana ia membazir wang dan tenaga
- · kerana ia tak membawa faedah
- · kerana ia mengundang penyakit
- · kerana ia mengundang rasa iri hati
Kalau nak
pamerkan pinggan mangkuk kat tetamu, kena la beli pinggan mangkuk yang mahal.
Takkan nak beli set pinggan mangkuk plastik yang orang buat makan moreh kat
surau. Dan pinggan mangkuk yang mahal perlukan almari yang mahal untuk memperagakannya.
Kualiti pinggan mangkuk berkait rapat dengan kualiti almari peragaan. Maka dah
jadi dua kali mahal. Tak ke membazir namanya tu. Tambah pulak kalau almari tu
diterangi oleh cahaya mentol untuk menyerlahkan kerlipan pinggan mangkuk mahal yang
diperagakan. Kalau mentol tu menggunakan 2 watt tenaga setiap malam, maka 730
watt telah dibazirkan dalam masa setahun. Bukan saja membazir duit, malah
tradisi ini menyumbang ke arah pemanasan global.
Selalunya
pinggan mangkuk yang diperagakan tu terlalu mahal untuk digunakan sehari-hari. Takut
pecah atau sumbing. Jadi set tu hanya kekal dalam almari dan tak digunakan. Aku
tak nampak faedah membeli pinggan mangkuk kalau ia tak digunakan untuk makan.
Kalau aku terasa nak pamerkan sesuatu, aku beli arca atau lukisan. Aku tak beli
pinggan, kerana pinggan dicipta untuk diletakkan nasi dan lauk. Kegagalan
menggunakan pinggan mangkuk sebagai tempat mengisi makanan ialah satu kezaliman
kepada objek tersebut, di samping melambangkan kebodohan jitu si pempamer.
Pinggan mangkuk
yang tak digunakan dalam almari peragaan akan mengumpul habuk. Ini boleh
mendatangkan bahaya kepada penghidap asma dan penyakit paru-paru. Di samping
tu, pengumpulan habuk juga boleh menjadi habitat kepada hama. Hama ni boleh
mengakibatkan alahan dan lelah.
Tujuan seseorang
mempamerkan pinggan mangkuk dalam almari ni selalunya untuk menunjukkan kepada tetamu
yang datang bahawa dia banyak duit. Dia mampu beli pinggan mangkuk yang mahal-mahal.
Almari yang mahal menambahkan lagi kekuatan penerajang simbolik ke arah batang
hidung tetamu yang datang. Ini boleh menimbulkan perasaan riak, takbur, hasad dengki
dan iri hati. Semuanya bukan sifat terpuji yang membawa ke syurga. Maka
berbangkit dari nafsu ingin bersaing, tetamu tu beli pinggan mangkuk yang lebih
mahal, sampai keperluan rumah yang lebih mendesak seperti pelajaran anak-anak diabaikan.
Aku tak kuasa nak
tegur mereka yang masih mengamalkan tradisi ni, sebab ianya dah berakar dalam
diri mereka. Kalau ditegur, nanti marah pulak. Apa yang aku boleh buat ialah
tidak mengulangi tradisi ni bila aku punyai rumah sendiri. Aku takkan beli
pinggan mangkuk semata-mata untuk dipamerkan. Kalau aku nak beli almari
peragaan, aku akan beli yang murah saja, dan aku akan isi dengan buku-buku untuk
menggalakkan budaya membaca di kalangan keluarga aku. Kalau tak pun, aku isikan
gambar-gambar keluarga atau memorabilia percutian. Banyak lagi cara aku nak
tunjukkan kat orang yang aku ni hebat, tak payah gunakan pinggan mangkuk.
Pinggan mangkuk untuk aku makan nasi.
No comments:
Post a Comment