Friday, November 18, 2011

Home » , » Senjata Abad Ke-21 Dalam Perang Dunia Kedua

Senjata Abad Ke-21 Dalam Perang Dunia Kedua

Aku baru je abis baca satu novel sejarah alternatif ni yang bertajuk Axis of Time karya John Birmingham. Ia merupakan sebuah trilogi yang mengisahkan sebuah armada tentera laut dari tahun 2021 yang tercampak ke tahun 1942 disebabkan satu eksperimen sains yang gagal.

Cerita Axis of Time ni bermula pada tahun 2021 di mana kerajaan Indonesia dah digulingkan oleh pengganas Islamis yang menggelarkan diri mereka Khalifah, dan kesannya ramai minoriti Cina Indonesia dibunuh dan rumah-rumah ibadah bukan Islam dibakar. Amerika Syarikat, yang masih lagi bergiat dalam perang menentang keganasan (War on Terror) setelah bertahun-tahun, menghantar satu armada kapal perang ke Indonesia. Armada tu turut disertai oleh beberapa kapal perang dari Britain, Perancis, Indonesia, Jepun, beserta satu kapal awam yang dikemudi oleh saintis. Saintis-saintis ni tengah membuat eksperimen teleportasi yang akan membolehkan senjata nuklear dihantar ke mana-mana saja dengan mudah tanpa peluru berpandu antarabenua (ICBM). Tengok-tengok eksperimen gagal, dan seluruh armada tu tercampak ke tahun 1942 semasa Perang Midway.

Walaupun majoriti kapal perang dalam armada tu tercampak ke satu tempat je, ada gak yang tercampak ke tempat lain. Kapal perang Indonesia tu ditemui oleh tentera laut Jepun, dan kapal perang Perancis ditemui oleh pihak Jerman Nazi. Maka teknologi abad ke-21 macam helikopter, internet, komputer dan roket terus memainkan peranan penting dalam Perang Dunia Kedua yang dah berubah ni. Pada masa yang sama, pemimpin Negara-negara yang tengah berperang ni tahu tentang apa yang akan terjadi berdasarkan rekod dalam sistem komputer armada tersebut, jadi mereka berusaha untuk mengelak dari membuat kesilapan yang termaktub dalam buku sejarah. Contohnya, setelah tahu yang dia akan kalah di Stalingrad, Hitler tarik balik tentera dia dari sempadan Kesatuan Soviet dan fokus kepada peperangan di Perancis dan usaha menakluk Britain.

Aku malas ah nak cerita semua, tapi akibat kehadiran armada dari masa depan ni, program senjata nuklear dipercepatkan dan kesannya, tiga bom nuklear diletupkan berbanding dua pada WW2 yang sebenar. Kesatuan Soviet mengebom Poland dengan bom nuklear, manakala Amerika Syarikat mengebom Berlin. Sebagai tindakbalas, Kesatuan Soviet memusnahkan Tokyo dengan bom nuklear. Akhir Perang Dunia Kedua dalam cerita ni menyaksikan Kesatuan Soviet menguasai timur Eropah, India, China, Jepun dan Asia Tenggara; dan Amerika Syarikat dan Britain menguasai Eropah Barat.

Aku rasa novel ni menarik gila dan tak sia-sia pengorbanan aku tidur pukul 12 pagi sebab baca buku ni. Di samping fokus kepada perubahan dari segi ketenteraan yang dibawa oleh armada abad ke-21 ni, Birmingham juga fokus pada aspek pertembungan budaya dan ilmu antara tahun 1940an dan 2020an. Contohnya, Elvis Presley yang pada masa WW2 hanya berusia 7 tahun, terus disambar syarikat rakaman sebab nak mendapatkan hakcipta ke atas lagu-lagu dia yang dah jadi evergreen pada tahun 2021 (lagu-lagu Elvis tu terdapat dalam sistem komputer armada dari masa depan). Tapi kadang-kadang penerangan sistem persenjataan moden dalam novel tu agak meleret-leret dan poyo. Mungkin kalau anda peminat Tom Clancy, anda boleh faham kot. Lagi satu, watak-watak yang berdasarkan personaliti sejarah sebenar macam Hitler, Stalin, dan Roosevelt tak dikembangkan dengan secukupnya, macam semata-mata nak menjadikan novel ni betul-betul sejarah alternatif. Tapi watak-watak fiksyen macam Laksamana Philip Kolhammer dihurai dengan mendalam, jadi ada timbal balik di situ.

Hari tu aku ada jumpa buku ni kat kedai buku terpakai, jadi rajin-rajinlah bertandang ke kedai-kedai macam tu, pastu kalau jumpa buku Axis of Time karya John Birmingham dan anda peminat genre sejarah alternatif, cepat-cepat la beli. Jangan tau beli CD blue je.

Salam
Botak

No comments: