Tahukah anda
tentang parti beg kertas?
Antara tahun
1900 hingga 1950 di New Orleans, Amerika Syarikat, parti beg kertas merupakan
acara yang sering diadakan di kalangan masyarakat tempatan berkulit hitam. Parti
ini dinamakan sedemikian kerana sebelum dibenarkan masuk, pengunjung diwajibkan
melalui satu ‘ujian beg kertas’ di muka pintu.
Satu beg kertas
berwarna coklat dipegang di sebelah muka setiap pengunjung parti, dan jika tona
kulit pengunjung berkenaan lebih gelap dari tona beg kertas itu, beliau
dilarang masuk. Tetapi sekiranya tona kulit pengunjung tersebut lebih cerah
dari beg kertas, beliau dialu-alukan menyertai parti itu.
Ini ialah salah
satu contoh diskriminasi di kalangan masyarakat kulit hitam, di mana mereka
yang mempunyai tona kulit yang lebih cerah (walaupun masih berkulit hitam)
dianggap mempunyai keistimewaan yang lebih berbanding mereka yang mempunyai
tona kulit gelap. Mentaliti ini sama sekali tidak rasional dan tidak mempunyai
asas yang kukuh dari segi saintifik dan moral. Tona kulit bukan penentu
kehebatan seseorang.
Malangnya, kini
sindrom ujian beg kertas telah berakar di kalangan masyarakat Malaysia dalam
iklan krim pencerah kulit di kaca televisyen. Krim-krim ini dipasarkan bersama
tolok kecerahan kulit yang dicetak dengan tona yang paling gelap kepada yang
paling cerah. Tolok ini disertakan untuk membantu pengguna mengukur kecerahan
kulit mereka selari dengan kemujaraban krim tersebut.
Tolok itu ialah
beg kertas, dan kita ialah masyarakat yang sibuk hendak memastikan bahawa tona
kulit kita lebih cerah dari tona paling cerah yang ditunjukkan di tolok itu.
Jika kita berjaya mendapat tona kulit sedemikian, kita rasa bangga dan penuh
keyakinan. Kita berjaya mendapat jemputan ke parti kehidupan, di mana kita akan
bertemu dengan orang-orang yang sukses, berkaliber, berharta, dan semestinya,
berkulit cerah.
Sebaliknya, jika
tona kulit kita lebih gelap dari tona yang kita mahukan, kita rasa rendah diri dan
hilang keyakinan. Kita tak dibenarkan masuk ke parti. Kita tidak mendapat
peluang untuk bersosial dengan orang-orang berstatus tinggi (dan berkulit
cerah) dalam parti kehidupan. Dan kita pun terus-terusan menggosok dan menepek
krim pencerah ke muka kita, dengan harapan sesi seterusnya bersama tolok
kecerahan akan membuahkan hasil dan kita berjaya dijemput ke parti.
Kita asyik mahsyuk
mencerahkan kulit sementara orang lain bangkit maju.