Friday, July 9, 2010

Home » , , , » Apa Itu Wawasan 2020?

Apa Itu Wawasan 2020?


Aku rasa aku pernah dengar satu siaran berita kat Radio 1 RTM tentang hasrat kerajaan nak melahirkan seorang penerima Hadiah Nobel menjelang 2020. Berita tu menerangkan lagi yang rancangan tu merupakan sebahagian dari rangka kerja Wawasan 2020 ilham bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad, di samping menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020. Antara rancangan Tun Mahathir selain Hadiah Nobel tu ialah Malaysia bakal jadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020 dan hantar angkasawan ke angkasa lepas menggunakan roket buatan Malaysia. Mungkin ada lagi rancangan Tun yang gempak gila tapi aku dah tak ingat kalau ada pun.

Dulu aku sekolah rendah kat Johor, jadi tiap-tiap hari Isnin masa perhimpunan kitorang nyanyi lagu Negeri Johor, Negaraku dan lagu Wawasan 2020. Aku nyanyi lagu Wawasan 2020 tu selama 6 tahun berturut-turut. Tapi sepatah haram pun aku tak tau apa bendanya Wawasan 2020 yang aku dok nyanyi tu. Kalau orang tanya aku “apa dia Wawasan 2020?”, aku jawab “lagu patriotic”. Sudah tentulah itu jawapan yang kencang sekali kebodohannya.

Bila dah masuk kolej, aku baru tahu tentang istilah negara maju dan negara membangun. Amerika dan Jepun negara maju, tapi Malaysia Negara membangun (klik sini kalau nak tau yang mana negara maju dan yang mana negara membangun). Jadi Wawasan 2020 tu merupakan rancangan untuk menaikkan taraf Malaysia menjadi negara maju macam Amerika dan Jepun menjelang tahun 2020. Tapi apa yang terkandung dalam Wawasan 2020 tu untuk membolehkan Malaysia jadi negara maju? Walaupun aku dah faham apa matlamat Wawasan 2020 tu, aku tak tahu macam mana ia nak dipraktikkan. Yang aku tahu, prinsip-prinsip Wawasan 2020 tu ada dicetak kat belakang buku latihan sekolah, tapi sepatah haram pun aku tak faham apa maksud ayat-ayat tu. Dan aku rasa ramai jugak rakyat Malaysia yang berkongsi kekeliruan aku mengenai Wawasan 2020 ni. Jadi kalau tak faham, buat apa nak ambik tahu, ye tak? Banyak lagi benda lain yang perlu diambil tahu.

Sekarang aku rasa ketidak fahaman dan ketidak ambil tahuan tentang prinsip dan praktik Wawasan 2020 ni masih berleluasa di kalangan rakyat Malaysia. Ini tak boleh jadi sebab kita hanya tinggal 10 tahun lagi menjelang 2020, dan Wawasan 2020 ni dah pun diwar-warkan oleh Tun Dr. Mahathir di seluruh dunia, jadi kalau tiba 1 Januari 2020 tapi masih ada golongan miskin tegar (hardcore poor) yang tak mampu beli beras dan pergi sekolah, tak ke malu diketawakan dek orang-orang asing? Macam Mat Jenin, belum sampai ke pucuk dah berangan jadi raja. Tapi adakah salah masyarakat marhaen Malaysia kalau mereka tak faham dan tak nak ambil tahu tentang Wawasan 2020, kalau pendedahan yang mereka dapat hanya cetakan di belakang buku tulis dan lagu patriotik? Itu semua abstrak dan simbolik, dan benda-benda abstrak ni memang susah nak masuk kepala orang.

Sebaiknya untuk memastikan orang-orang kebanyakan di Malaysia ni sedar dan fokus kepada Wawasan 2020, kerajaan sepatutnya tumpukan kepada aspek-aspek konkrit Wawasan 2020 seperti yang aku sentuh pada perenggan awal tadi, menang Hadiah Nobel, anjur Sukan Olimpik, hantar angkasawan pakai roket Malaysia dan sebagainya. Semua ni benda yang orang boleh nampak dan boleh bayangkan, dan ianya juga membangkitkan semangat kebangsaan (national pride). Kerajaan seterusnya kena jelaskan yang benda-benda ni hanya boleh tercapai kalau Malaysia jadi negara maju, dan untuk jadi negara maju, kita kena ikut formula Wawasan 2020. Usaha ni boleh dicapai melalui media macam TV, filem dan muzik, sebab itu saluran di mana kerajaan boleh mendekati rakyat dengan mudah.

Masa kerajaan hantar angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) 3 tahun lepas, semangat kebangsaan tu memang timbul dari hampir segenap lapisan rakyat Malaysia. Kalau ada yang menentang pun, masa tengok bendera Malaysia kat roket Soyuz tu dan pelancaran roket tu pun terkedu gak seketika dek kerana semangat kebangsaan. Itu baru naik roket Russia, kalau hantar angkasawan Malaysia naik roket Malaysia, apatah lagi! Tapi demi untuk merealisasikan hasrat tu, kita mestilah dah sampai tahap negara maju, dan kalau nak sampai tahap negara maju, kita kena realisasikan pelan yang terkandung dalam Wawasan 2020.

Kalau nak didik orang banyak, kena berfikir macam orang banyak. Capture their imagination, bukan lambakkan prinsip-prinsip yang abstrak dan tak bermakna dan suruh mereka telan. Masyarakat Malaysia ada lebih banyak perkara berkaitan kemandirian sehari-hari (daytoday survival) yang mereka perlu ambil tahu daripada abstraksi Wawasan 2020. Jadi jika mereka yang terlibat dengan pelaksanaan Wawasan 2020 ni masih berfikir macam eksekutif dan birokrat dan tak peduli samada masyarakat ni faham ke tidak Wawasan 2020, sampai tahun 2020 pun orang takkan ambil tahu tentang Wawasan 2020 dan Malaysia tak jadi negara maju. Baru padan muka.

Daripada kita dok sibuk kisah pasal ahli politik anu main bontot si anu, si polan sumpah laknat si polan; Cina, Melayu dan India bercakaran, baik kita fokus kepada perkara yang akan membawa manfaat kepada negara. Walaupun John F. Kennedy cakap jangan persoalkan apa negara bagi kepada kamu, bagi aku, kalau kita bercakap tentang Wawasan 2020 dan mencapai taraf negara maju, kita patut persoalkan apa yang kerajaan patut bagi tahu kat kita.

P/s: Anda tahu apa itu Wawasan 2020?

No comments: