Pengamatan aku mendedahkan
sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya yang berbangsa Melayu (tapi bangsa
lain pun ada jugak), begitu obses dengan makanan kesihatan. Macam-macam pil,
kapsul, kopi, teh, minyak, air, serbuk, dan serdak dijual dalam pek beraneka
rupa dan warna untuk menjanjikan penyembuhan dari segala macam penyakit serta meningkatkan
kualiti hidup.
Nak salahkan penjual
makanan kesihatan 100 peratus pun tak boleh, sebab diorang hanya memenuhi
permintaan pengguna, selari dengan konsep pasaran bebas yang diamalkan dalam
sistem ekonomi di Malaysia. Kalau takde permintaan dari pengguna, takdelah penjualan.
Tapi kebanjiran makanan kesihatan di pasaran tempatan ni memang satu fenomena
yang aku rasa wajar diberi sedikit perhatian.
Pada satu segi, aku memang
menyokong pengeluaran makanan kesihatan ni sebab ia menandakan budaya keusahawanan
di kalangan rakyat Malaysia sedang subur dan berkembang. Banyak usahawan,
banyaklah cukai, dan natijahnya banyaklah hasil ekonomi negara. So bolehlah
Malaysia muncul sebagai negara maju berpendapatan tinggi dengan lebih cepat.
Kemunculan usahawan makanan
kesihatan berbangsa Melayu dapat meningkatkan taraf ekonomi bangsa tersebut,
sepertimana yang disasarkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Lagipun berniaga
makanan kesihatan ni halalan tayyiban, asalkan makanan kesihatan tu tak
mengandungi bahan-bahan yang memudaratkan atau takde penipuan yang berlaku
dalam urusniaga.
Pada segi yang lain, obsesi
terhadap makanan kesihatan ni semacam mengisyaratkan bahawa sebahagian besar rakyat
Malaysia hanya bergantung kepada makanan kesihatan untuk menjaga kesihatan
diorang. Contohnya, kalau nak mengelakkan kencing manis atau darah tinggi, kena
makan pil cap ayam atau minyak cap kuda. Kenapa terlalu fokus kepada makanan
tambahan untuk mengelakkan penyakit? Kenapa tak fokus kepada amalan pemakanan sihat
atau senaman untuk membasmi penyakit-penyakit dari puncanya?
Bagi aku, makanan kesihatan
tu bukan satu batu geliga yang mampu menyembuhkan penyakit dengan kuasanya sendiri.
Kalau ada pun kesannya, hanya sedikit, kerana yang memberi kesan paling besar
ke arah mengelakkan penyakit ialah amalan kesihatan kita sendiri. Kalau dok
melantak pil atau minum kopi hikmat bertahun-tahun tapi makan makanan tak
seimbang serta tak bersenam, tak guna jugak.
Apa pendapat anda?
P/s: Artikel sempena
ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16
September 1963.