Terlebih dahulu aku
mengucapkan selamat berpuasa kepada pembaca yang beragama Islam. Diharap pada
bulan Ramadan ini pahala anda bertambah-tambah, rezeki anda mencurah-curah dan
air tebu dalam jag di meja makan anda melimpah ruah.
Antara perkara yang diberi
keutamaan bila menjelangnya bulan puasa ialah menjaga mulut dari mengumpat dan
mengata perihal orang lain. Kurang pahala puasa, kata ustazah aku. Secara
amnya, apa-apa pertuturan kita yang mungkin menyinggung perasaan orang lain haruslah
dikurangkan sepanjang Ramadan ini.
Tapi tahukah anda bahawa
anda mampu menyinggung perasaan orang lain dengan pertuturan anda walaupun anda
tak berniat langsung nak mengumpat atau mengata? Perkataan baru yang aku cipta
bagi fenomena ini ialah 'jahlul'. Aku suka hati je cipta perkataan sendiri sebab
aku tak tahu ada ke perkataan yang mampu menggambarkan fenomena ni dengan
seadanya.
Jahlul bermaksud bercakap
tanpa ilmu. Ia terdiri dari gabungan perkataan 'jahil' dan 'bahlul'. Jahil
bermaksud bodoh atau tak berilmu, dan bahlul bermaksud cakap lepas atau semberono
(ini makna yang aku beri sendiri). Secara amnya, orang yang bersifat jahlul
suka meluahkan sesuatu tanpa ada ilmu tentang perkara yang diperkatakan itu.
Juga, selalunya orang yang jahlul suka bercakap tanpa berfikir dulu tentang
kesannya terhadap orang lain.
Sebagai contoh, Si Luncai
yang mengkritik rakan beliau, Pak Pandir, kerana tidak mahu menyertai acara
berbuka puasa di restoran adalah seorang jahlul. Si Luncai tidak tahu apa
sebabnya Pak Pandir enggan menyertai mereka: mungkin kerana dia ingin
menghabiskan masa dengan keluarga, mungkin kerana dia ingin berjimat cermat
atau mungkin masakan isterinya lebih sedap dari hidangan di restoran. Walaupun Si
Luncai tidak tahu, dia terus mengeluarkan kritikan tersebut. Itu boleh
dikategorikan sebagai jahlul. Walaupun Si Luncai tidak berniat langsung hendak
melukakan hati Pak Pandir, hati Pak Pandir telahpun terluka dek kejahlulan
beliau. Jika pun Pak Pandir tidak mendengar kritikan tersebut, orang lain yang
tahu mengapa Pak Pandir bertindak sedemikian akan merasa tidak selesa juga.
Maka sia-sialah Si Luncai
menahan diri dari mengata dan mengumpat sepanjang hari kerana kejahlulan beliau
telah dibalas dengan dosa kering serentak dengan tersinggungnya perasaan Pak Pandir
dan orang-orang di sekeliling yang mendengar.
Bagaimana anda boleh
mengelak dari terjerumus ke lembah kejahlulan? Anda seharusnya ambil tahu
tentang banyak benda: mengapa Pak Pandir tak mahu berbuka bersama-sama,
mengapa penganut Hindu tak boleh makan daging lembu, dan sebagainya. Kalau anda dah tahu, baru anda boleh
buka mulut. Kalau tak tahu, jangan buka mulut; lebih baik diam dan perhati.
Sebelum anda membuka mulut, peruntukkan sesaat dua untuk berfikir tentang kesan
pertuturan anda terhadap orang lain. Mungkin anda fikir anda tahu kenapa Pak Pandir
tak mahu berbuka bersama-sama, tapi anda mungkin silap di situ. Jadi fikir
dahulu sebelum bercakap, tak usah terburu-buru. Dua saat boleh menentukan
samada anda seorang jahlul yang bakal menerima hamper dosa kering ataupun
tidak.
Jika anda bukan seorang
jahlul tapi tidak sengaja telah melakukan kejahlulan, minta maaf dengan ikhlas
kepada mangsa kejahlulan anda. Jika anda seorang jahlul sejak azali lagi, maka
selamat menerima dosa kering. Tak dapek den nak nolong.
Selamat berpuasa dan jangan
jadi jahlul!
Terima kasih kerana membaca
Botak