Showing posts with label PENDAPAT. Show all posts
Showing posts with label PENDAPAT. Show all posts

Monday, September 5, 2011

Obses Makanan Kesihatan?


Pengamatan aku mendedahkan sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya yang berbangsa Melayu (tapi bangsa lain pun ada jugak), begitu obses dengan makanan kesihatan. Macam-macam pil, kapsul, kopi, teh, minyak, air, serbuk, dan serdak dijual dalam pek beraneka rupa dan warna untuk menjanjikan penyembuhan dari segala macam penyakit serta meningkatkan kualiti hidup.

Nak salahkan penjual makanan kesihatan 100 peratus pun tak boleh, sebab diorang hanya memenuhi permintaan pengguna, selari dengan konsep pasaran bebas yang diamalkan dalam sistem ekonomi di Malaysia. Kalau takde permintaan dari pengguna, takdelah penjualan. Tapi kebanjiran makanan kesihatan di pasaran tempatan ni memang satu fenomena yang aku rasa wajar diberi sedikit perhatian.

Pada satu segi, aku memang menyokong pengeluaran makanan kesihatan ni sebab ia menandakan budaya keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia sedang subur dan berkembang. Banyak usahawan, banyaklah cukai, dan natijahnya banyaklah hasil ekonomi negara. So bolehlah Malaysia muncul sebagai negara maju berpendapatan tinggi dengan lebih cepat.

Kemunculan usahawan makanan kesihatan berbangsa Melayu dapat meningkatkan taraf ekonomi bangsa tersebut, sepertimana yang disasarkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Lagipun berniaga makanan kesihatan ni halalan tayyiban, asalkan makanan kesihatan tu tak mengandungi bahan-bahan yang memudaratkan atau takde penipuan yang berlaku dalam urusniaga.

Pada segi yang lain, obsesi terhadap makanan kesihatan ni semacam mengisyaratkan bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia hanya bergantung kepada makanan kesihatan untuk menjaga kesihatan diorang. Contohnya, kalau nak mengelakkan kencing manis atau darah tinggi, kena makan pil cap ayam atau minyak cap kuda. Kenapa terlalu fokus kepada makanan tambahan untuk mengelakkan penyakit? Kenapa tak fokus kepada amalan pemakanan sihat atau senaman untuk membasmi penyakit-penyakit dari puncanya?

Bagi aku, makanan kesihatan tu bukan satu batu geliga yang mampu menyembuhkan penyakit dengan kuasanya sendiri. Kalau ada pun kesannya, hanya sedikit, kerana yang memberi kesan paling besar ke arah mengelakkan penyakit ialah amalan kesihatan kita sendiri. Kalau dok melantak pil atau minum kopi hikmat bertahun-tahun tapi makan makanan tak seimbang serta tak bersenam, tak guna jugak.

Apa pendapat anda?

P/s: Artikel sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16 September 1963.

Wednesday, August 31, 2011

Adakah Malaysia Maju Jika Dijajah British


Sempena ulangtahun ke-54 kemerdekaan Malaysia dari penjajahan British, aku nak buat spekulasi sikit tentang apa yang akan terjadi jika Malaysia tak berjaya merdeka dari British.

Pertama sekali aku tertanya-tanya jika Perang Dunia Kedua tak berlaku dan British kekal menguasai Malaysia sehingga abad ke-21, adakah perkara-perkara ini akan berlaku?

  1. Malaysia akan dihuni oleh pemukim-pemukim kulit putih seperti yang berlaku di Amerika Syarikat (pra-1776), Kanada, Afrika Selatan, Australia dan New Zealand. 
  2. Malaysia akan mencapai tahap kemajuan ekonomi yang setaraf dengan negara-negara tersebut.
Tujuan aku bertanyakan soalan-soalan tu ialah kerana Negara-negara tersebut (kecuali Amerika Syarikat) mempunyai sejarah kolonialisme yang hampir serupa dengan Malaysia; mereka semua telah dijajah oleh British selama 200 tahun, lebih kurang. Jadi kalau mengikut peredaran sejarah, Malaysia juga patut mengalami keadaan sosiopolitik yang sama dengan negara-negara tersebut jika ia kekal dijajah British sehingga abad ke-21.

Tapi jawapan peribadi aku untuk kedua-dua soalan itu ialah:
  1. Tidak
  2. Mungkin
Sebab kenapa aku menjawab 'Tidak' untuk soalan pertama ialah kerana pemukim-pemukim kulit putih dari Eropah takkan menganggap Malaysia sebagai destinasi hidup yang bagus seperti Australia dan New Zealand. Iklim dan persekitarannya terlalu berlainan dengan apa yang mereka dah terbiasa di Eropah. Walaupun geologi, flora dan fauna di Afrika Selatan, Australia dan New Zealand begitu asing berbanding di Eropah, paling tidak mereka mengalami iklim empat musim yang juga dialami di Eropah; berlainan dengan Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Mungkin sekarang ramai pelancong asing dari Eropah datang ke Malaysia kerana mereka menganggap iklimnya selesa dan eksotik, tapi jika anda seorang pemukim dari Eropah 200 tahun dahulu yang menyeberang laut untuk memulakan hidup baru di tanah jajahan negara anda, anda takkan menganggap iklim dan persekitaran Malaya sebagai sesuatu yang selesa dan eksotik. Semestinya anda akan menderita begitu teruk dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baru semasa berusaha untuk mencari sesuap roti (sebab orang putih tak makan nasi).

Mungkin jika British kekal menguasai Malaya, akan ada juga pemukim kulit putih yang datang, tetapi mereka ni akan terdiri dari pegawai kerajaan British, anggota tentera, pedagang yang sekadar singgah, atau mungkin pencari emas. Pendek kata, orang-orang kulit putih yang bermukim di Malaya ni samada kerana dipertanggungjawabkan untuk tinggal atau kerana mempunyai daya tahan yang tinggi. Takkan ada pemukim kulit putih di zaman dahulu yang sukarela hendak tinggal dan memulakan keluarga di satu negara yang begitu berlainan sekali iklim dan persekitarannya dari Eropah. Silap-silap mati sebab iklim terlalu panas atau kebulur tak makan.

Untuk jawapan kepada soalan kedua, aku menjawab 'Mungkin' sebab Malaya mempunyai potensi untuk menjadi kawasan yang sangat maju dari segi perdagangan. Selat Melaka merupakan laluan kapal dagang yang paling sibuk di dunia, dan pulau Singapura ialah tapak pelabuhan yang sungguh strategik. Jadi jika British kekal menguasai Malaya dan Singapura, ia dapat menguasai perdagangan laut antara Eropah dan Asia. Ini berpotensi menjana kemajuan untuk Malaya. Kalau difikirkan, New Zealand yang terletak nun jauh di hujung Lautan Pasifik (tempat jin bertendang) pun boleh mencapai tahap kemajuan negara dunia pertama; inikan pulak Malaya dan Singapura yang terletak di tengah-tengah laluan dagang antara benua.

Tetapi harus diingat, kemajuan yang mungkin dicapai tu untuk siapa? Seperti yang aku ulas tadi, besar kemungkinan tiada populasi pemukim kulit putih yang besar di Malaya untuk membolehkan ia digelar sebagai British Dominion seperti mana Kanada, Australia dan New Zealand. Malaya hanya akan kekal sebagai BritishColony yang hanya berguna buat British mengaut hasil bumi dan dihantar ke Britain dan dominion-dominion lain. Masyarakat di Malaya besar kemungkinan takkan dapat menikmati hasil kemajuan negeri mereka sendiri kerana semuanya telah diangkut balik ke Eropah oleh British. Jadi mungkin Malaya boleh mencapai kemajuan di bawah pemerintahan British, tapi ke mana hasil kemajuan tu digunakan ialah satu persoalan lain.

Justeru itu, aku menyimpulkan bahawa kalau Malaysia kekal dijajah British sehingga sekarang, Malaya boleh maju tetapi bukanlah masyarakat Malaysia yang menerima faedahnya.

P/s: Artikel sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16 September 1963.

Saturday, August 27, 2011

Nak Pinjam Perkataan Boleh?


Berlainan dengan penutur Bahasa Inggeris (BI) yang bersikap liberal terhadap peminjaman perkataan dari bahasa asing, penutur Bahasa Melayu (BM) secara amnya susah nak menerima perkataan pinjaman dari sesetengah bahasa lain.

Sebagai contoh, kita ambik ayat ni: "extreme political activities are verboten". Verboten ni berasal dari bahasa Jerman yang bermaksud 'dilarang'. Secara umumnya, penutur BI takde masalah nak menggunakan perkataan verboten di samping forbidden atau dua belas sinonimnya*, walaupun perkataan verboten tu dicedok bulat-bulat dari bahasa Jerman.

*menurut Thesaurus.com

Tapi kalau kita ambik contoh ayat BM ni: "hiburan tanpa limitasi", penutur BM secara amnya akan memandang serong terhadap perkataan limitasi (dimelayukan dari perkataan BI limitation bermaksud 'had'). Mereka akan berkata 'takde perkataan lain ke boleh guna selain limitasi? Cakap hiburan tanpa had pun boleh'. Seboleh-bolehnya, penutur-penutur BM akan menekankan pencarian istilah bahasa Melayu untuk menggantikan perkataan pinjaman dari bahasa asing terutamanya BI, dan memandang serong terhadap penterjemah dan penulis yang wewenang memelayukan perkataan BI dalam hasil kerja mereka.

Tapi sikap curiga ni selalunya hanya dizahirkan kepada perkataan yang dipinjam dari BI. Majoriti penutur BM takde masalah dengan perkataan yang dipinjam dari bahasa Sanskrit dan Arab. Mungkin kerana BM mempunyai pertalian yang erat dengan kedua-dua bahasa tu; Sanskrit dituturkan sejak beribu-ribu tahun dulu di Nusantara, dan Arab dibawa oleh pedagang Timur Tengah ke Tanah Melayu sejak 600 tahun dulu. Sebagai perbandingan, BI hanya dituturkan di Tanah Melayu sejak 200 tahun dulu, lebih kurang.

Tapi dalam zaman BI menjadi lingua franca dunia sekarang, tak dapat tidak sedikit pengaruh BI tu meresap jugak ke dalam BM, lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi maklumat. Penutur BM secara kasarnya lebih suka menggunakan mouse daripada tetikus. Jadi adakah sikap curiga BM terhadap perkataan pinjaman ni sudah tak relevan sekarang? Adakah penutur BM perlu bersikap lebih liberal terhadap peminjaman perkataan dari bahasa asing?

Adakah mouse perlu dipinjam ke dalam BM untuk menjadi maus?

Satu benda yang kerapkali menarik perhatian aku ialah penggunaan so (penanda wacana dari BI bermaksud 'jadi') dalam pertuturan harian penutur BM. Contohnya macam ni: so kita akan buat pemantauan dalam tempoh terdekat. Satu lagi contoh ialah so kita nak buat pe malam ni?

Aku berani cakap bahawa 99.99% penutur BM sekarang menggunakan so dalam percakapan mereka. Tak kisahlah ahli politik ke, budak kecik ke, ahli bahasa ke. Walaupun si polan ni bercakap BM piawai, aku jamin akan ada so dalam percakapan dia. Jadi aku rasa wajar so tu kita pinjam je ke dalam BM di samping jadi. Kita tak menggantikan jadi tapi kita cuma tambah so untuk membawa makna yang sama. Bagi aku, tak masuk akal kalau so kekal dipandang sebagai perkataan asing jika ia dah acap kali digunakan oleh hampir semua penutur BM.

Adakah cadangan aku tu bertentangan dengan sikap penutur BM terhadap perkataan pinjaman?

P/s: Artikel sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16 September 1963.

Saturday, August 20, 2011

Kesalahan Putih, Keegoan Coklat


Terdapat sesetengah orang Melayu yang tak boleh menerima iklan di TV yang menggunakan bahasa Tamil, Cina dan sesekali Inggeris di samping bahasa Melayu. Ada jugak yang tak betah dengan iklan yang memaparkan kaum Cina dan India di samping Melayu. Ditambah pulak dengan sesetengah pihak yang membantah penyertaan tarian Cina dan India dalam persembahan zapin. Aku tau semua ni sebab orang-orang ni sendiri yang menyuarakan pendapat mereka dalam akhbar.

Aku malas nak komen lebih-lebih, sebab isu hubungan kaum di Malaysia ni sama dengan isu Israel-Palestin. Sampai bila-bila pun takkan selesai. Cuma aku nak bercerita sikit tentang cara masyarakat kulit putih yang menjadi majoriti di banyak negara, sepertimana orang Melayu menjadi majoriti di Malaysia, menghadapi kepelbagaian budaya.

Wujud sebuah konsep dalam sosiologi yang digelar white guilt, iaitu rasa bersalah yang dialami oleh orang kulit putih, natijah penjajahan dan penindasan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka terhadap bangsa bukan kulit putih selama berates-ratus tahun. Seperti yang kita tahu, orang kulit putih dari Eropah telah menjajah semua benua di planet Bumi ni kecuali Antartika.

Sebagai contoh, orang Portugis menjajah Melaka, orang Perancis menjajah Algeria, orang Belanda menjajah Indonesia, orang Jerman menjajah Namibia, orang Itali menjajah Habsyah, orang Sepanyol menjajah Mexico, dan orang British menjajah Australia, New Zealand, India dan Amerika Syarikat. Sepanjang zaman kolonial, berjuta-juta orang bukan kulit putih di jajahan-jajahan ini dibunuh dan ditindas oleh orang kulit putih.

Selepas runtuhnya empayar-empayar Eropah pada pertengahan abad ke-20, timbul kesedaran dalam sebilangan waris kulit putih ni tentang betapa teruknya penindasan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka terhadap bangsa terjajah (yang kebanyakannya bukan berkulit putih). Hasil daripada kesedaran tu, orang kulit putih hari ni sebahagian besarnya cukup terbuka dengan kepelbagaian budaya orang lain kerana mereka tak mahu dicap sebagai mengulangi mentaliti nenek moyang penjajah mereka yang menindas bangsa bukan kulit putih.

Dalam cara tersendiri, penerimaan orang kulit putih terhadap budaya asing ialah satu cara mereka ingin memohon maaf atas kezaliman nenek moyang mereka sewaktu era penjajahan. Contohnya di New Zealand, masyarakat kulit putih sama-sama meraikan Tahun Baru Cina dan Deepavali bersama komuniti Cina dan India. Jadi kita dapat tengok kat sini bahawa orang kulit putih bersifat liberal dengan kepelbagaian budaya kerana mereka dibayangi oleh rasa bersalah akibat penindasan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.

Tapi orang Melayu tak menjajah siapa-siapa, jadi mereka takde rasa bersalah terhadap mana-mana kaum bukan Melayu. Lalu orang-orang macam ni tak nampak kenapa mereka kena bersifat terbuka terhadap kepelbagaian budaya. Mereka tak dibayangi oleh perasaan bersalah dan takde siapa mereka nak minta maaf. Bahkan ada sesetengah orang Melayu yang merasakan diri mereka sendiri yang tertindas akibat terpaksa berkongsi Tanah Melayu dengan kaum Cina dan India sebagai syarat mencapai kemerdekaan.

Aku percaya itulah salah satu sebab kenapa ada orang-orang Melayu yang tak selesa dengan paparan berbilang bangsa dan bahasa dalam iklan dan penyertaan tarian Cina dan India dalam persembahan seni Melayu. Apa pendapat anda?

P/s: Artikel sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 dan penubuhan Malaysia 16 September 1963.

Friday, August 13, 2010

Jangan Jadi Jahlul


Terlebih dahulu aku mengucapkan selamat berpuasa kepada pembaca yang beragama Islam. Diharap pada bulan Ramadan ini pahala anda bertambah-tambah, rezeki anda mencurah-curah dan air tebu dalam jag di meja makan anda melimpah ruah.

Antara perkara yang diberi keutamaan bila menjelangnya bulan puasa ialah menjaga mulut dari mengumpat dan mengata perihal orang lain. Kurang pahala puasa, kata ustazah aku. Secara amnya, apa-apa pertuturan kita yang mungkin menyinggung perasaan orang lain haruslah dikurangkan sepanjang Ramadan ini.

Tapi tahukah anda bahawa anda mampu menyinggung perasaan orang lain dengan pertuturan anda walaupun anda tak berniat langsung nak mengumpat atau mengata? Perkataan baru yang aku cipta bagi fenomena ini ialah 'jahlul'. Aku suka hati je cipta perkataan sendiri sebab aku tak tahu ada ke perkataan yang mampu menggambarkan fenomena ni dengan seadanya.

Jahlul bermaksud bercakap tanpa ilmu. Ia terdiri dari gabungan perkataan 'jahil' dan 'bahlul'. Jahil bermaksud bodoh atau tak berilmu, dan bahlul bermaksud cakap lepas atau semberono (ini makna yang aku beri sendiri). Secara amnya, orang yang bersifat jahlul suka meluahkan sesuatu tanpa ada ilmu tentang perkara yang diperkatakan itu. Juga, selalunya orang yang jahlul suka bercakap tanpa berfikir dulu tentang kesannya terhadap orang lain.

Sebagai contoh, Si Luncai yang mengkritik rakan beliau, Pak Pandir, kerana tidak mahu menyertai acara berbuka puasa di restoran adalah seorang jahlul. Si Luncai tidak tahu apa sebabnya Pak Pandir enggan menyertai mereka: mungkin kerana dia ingin menghabiskan masa dengan keluarga, mungkin kerana dia ingin berjimat cermat atau mungkin masakan isterinya lebih sedap dari hidangan di restoran. Walaupun Si Luncai tidak tahu, dia terus mengeluarkan kritikan tersebut. Itu boleh dikategorikan sebagai jahlul. Walaupun Si Luncai tidak berniat langsung hendak melukakan hati Pak Pandir, hati Pak Pandir telahpun terluka dek kejahlulan beliau. Jika pun Pak Pandir tidak mendengar kritikan tersebut, orang lain yang tahu mengapa Pak Pandir bertindak sedemikian akan merasa tidak selesa juga.

Maka sia-sialah Si Luncai menahan diri dari mengata dan mengumpat sepanjang hari kerana kejahlulan beliau telah dibalas dengan dosa kering serentak dengan tersinggungnya perasaan Pak Pandir dan orang-orang di sekeliling yang mendengar.

Bagaimana anda boleh mengelak dari terjerumus ke lembah kejahlulan? Anda seharusnya ambil tahu tentang banyak benda: mengapa Pak Pandir tak mahu berbuka bersama-sama,
mengapa penganut Hindu tak boleh makan daging lembu, dan sebagainya. Kalau anda dah tahu, baru anda boleh buka mulut. Kalau tak tahu, jangan buka mulut; lebih baik diam dan perhati. Sebelum anda membuka mulut, peruntukkan sesaat dua untuk berfikir tentang kesan pertuturan anda terhadap orang lain. Mungkin anda fikir anda tahu kenapa Pak Pandir tak mahu berbuka bersama-sama, tapi anda mungkin silap di situ. Jadi fikir dahulu sebelum bercakap, tak usah terburu-buru. Dua saat boleh menentukan samada anda seorang jahlul yang bakal menerima hamper dosa kering ataupun tidak.

Jika anda bukan seorang jahlul tapi tidak sengaja telah melakukan kejahlulan, minta maaf dengan ikhlas kepada mangsa kejahlulan anda. Jika anda seorang jahlul sejak azali lagi, maka selamat menerima dosa kering. Tak dapek den nak nolong.

Selamat berpuasa dan jangan jadi jahlul!

Terima kasih kerana membaca
Botak

Monday, July 26, 2010

Easy Way To Reduce Smoking


There have been plenty of antismoking campaigns conducted over the years but little, if any, effects can be seen. Smoking is still popular. Fortunately I've found out an easy way to reduce smoking on a national, nay, global level.

Here's the lowdown:

Cigarettes contains chemicals, plenty of which are poisonous to the human body. In fact, there are 599 additives in a cigarette which you can read the full list here. Upon burning, cigarettes create more than 4000 chemical compounds. In short, cigarettes are poisonous, and everybody knows that (even the smokers).

My proposal thus is simple. The government should order cigarette manufacturers, on pain of imprisonment, to create a batch of special cigarette, identical in appearance and taste, except that this special batch contain a fast-acting and highly lethal poison, such as dimethylmercury or ricin. Anyone unfortunate enough to smoke this special cigarette will instantly die of poisoning.

These poisonous cigarettes would then be randomly inserted into packets of normal cigarettes, which are then distributed across the country. The packets containing the poisonous cigarettes shall not be marked in any way to indicate its 'special' content. In other words, it should look like a normal packet. Remember also that the poisonous cigarette will look identical to its normal counterpart, so there's nothing to give the secret away. Thus the average smoker, upon opening a packet of cigarettes, should not be able to tell which cigarette in the pack is the poisonous ones.

I postulate cigarette consumption to drop drastically after this strategy is introduced, as smokers wouldn't want to gamble their life by smoking a poisonous cigarette by accident. This should prove to be a huge incentive towards quitting smoking, and hopefully it would deter the newbie smokers as well.

The way I see it, cigarettes already contain poisons, albeit slow-acting ones. Therefore I see no harm in putting fast-acting poisons for a change. At the very least, it would lend the act of smoking a little bit of risk and adventure, as the reckless smoker pulls a cigarette out of the packet, not knowing if this is the one that would end his life. It's a lot like Russian roulette, only with cigarettes.

Some variations on this poisonous cigarette strategy are radioactive cigarettes and exploding cigarettes. Instead of fast-acting poison, the special batch could be exposed to radioactivity, which would inflict the hapless smoker with radiation poisoning. Or special cigarettes could be formulated to explode upon ignition. Its effectiveness can be spectacularly improved by having the cigarette explode a few seconds after being burned, so that it would explode while being inhaled.

I will forward this idea to the appropriate authorities.

Thanks for reading
Botak

P/s: I'm just playing, smokers; you know I love you.

Friday, July 9, 2010

Apa Itu Wawasan 2020?


Aku rasa aku pernah dengar satu siaran berita kat Radio 1 RTM tentang hasrat kerajaan nak melahirkan seorang penerima Hadiah Nobel menjelang 2020. Berita tu menerangkan lagi yang rancangan tu merupakan sebahagian dari rangka kerja Wawasan 2020 ilham bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad, di samping menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020. Antara rancangan Tun Mahathir selain Hadiah Nobel tu ialah Malaysia bakal jadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020 dan hantar angkasawan ke angkasa lepas menggunakan roket buatan Malaysia. Mungkin ada lagi rancangan Tun yang gempak gila tapi aku dah tak ingat kalau ada pun.

Dulu aku sekolah rendah kat Johor, jadi tiap-tiap hari Isnin masa perhimpunan kitorang nyanyi lagu Negeri Johor, Negaraku dan lagu Wawasan 2020. Aku nyanyi lagu Wawasan 2020 tu selama 6 tahun berturut-turut. Tapi sepatah haram pun aku tak tau apa bendanya Wawasan 2020 yang aku dok nyanyi tu. Kalau orang tanya aku “apa dia Wawasan 2020?”, aku jawab “lagu patriotic”. Sudah tentulah itu jawapan yang kencang sekali kebodohannya.

Bila dah masuk kolej, aku baru tahu tentang istilah negara maju dan negara membangun. Amerika dan Jepun negara maju, tapi Malaysia Negara membangun (klik sini kalau nak tau yang mana negara maju dan yang mana negara membangun). Jadi Wawasan 2020 tu merupakan rancangan untuk menaikkan taraf Malaysia menjadi negara maju macam Amerika dan Jepun menjelang tahun 2020. Tapi apa yang terkandung dalam Wawasan 2020 tu untuk membolehkan Malaysia jadi negara maju? Walaupun aku dah faham apa matlamat Wawasan 2020 tu, aku tak tahu macam mana ia nak dipraktikkan. Yang aku tahu, prinsip-prinsip Wawasan 2020 tu ada dicetak kat belakang buku latihan sekolah, tapi sepatah haram pun aku tak faham apa maksud ayat-ayat tu. Dan aku rasa ramai jugak rakyat Malaysia yang berkongsi kekeliruan aku mengenai Wawasan 2020 ni. Jadi kalau tak faham, buat apa nak ambik tahu, ye tak? Banyak lagi benda lain yang perlu diambil tahu.

Sekarang aku rasa ketidak fahaman dan ketidak ambil tahuan tentang prinsip dan praktik Wawasan 2020 ni masih berleluasa di kalangan rakyat Malaysia. Ini tak boleh jadi sebab kita hanya tinggal 10 tahun lagi menjelang 2020, dan Wawasan 2020 ni dah pun diwar-warkan oleh Tun Dr. Mahathir di seluruh dunia, jadi kalau tiba 1 Januari 2020 tapi masih ada golongan miskin tegar (hardcore poor) yang tak mampu beli beras dan pergi sekolah, tak ke malu diketawakan dek orang-orang asing? Macam Mat Jenin, belum sampai ke pucuk dah berangan jadi raja. Tapi adakah salah masyarakat marhaen Malaysia kalau mereka tak faham dan tak nak ambil tahu tentang Wawasan 2020, kalau pendedahan yang mereka dapat hanya cetakan di belakang buku tulis dan lagu patriotik? Itu semua abstrak dan simbolik, dan benda-benda abstrak ni memang susah nak masuk kepala orang.

Sebaiknya untuk memastikan orang-orang kebanyakan di Malaysia ni sedar dan fokus kepada Wawasan 2020, kerajaan sepatutnya tumpukan kepada aspek-aspek konkrit Wawasan 2020 seperti yang aku sentuh pada perenggan awal tadi, menang Hadiah Nobel, anjur Sukan Olimpik, hantar angkasawan pakai roket Malaysia dan sebagainya. Semua ni benda yang orang boleh nampak dan boleh bayangkan, dan ianya juga membangkitkan semangat kebangsaan (national pride). Kerajaan seterusnya kena jelaskan yang benda-benda ni hanya boleh tercapai kalau Malaysia jadi negara maju, dan untuk jadi negara maju, kita kena ikut formula Wawasan 2020. Usaha ni boleh dicapai melalui media macam TV, filem dan muzik, sebab itu saluran di mana kerajaan boleh mendekati rakyat dengan mudah.

Masa kerajaan hantar angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) 3 tahun lepas, semangat kebangsaan tu memang timbul dari hampir segenap lapisan rakyat Malaysia. Kalau ada yang menentang pun, masa tengok bendera Malaysia kat roket Soyuz tu dan pelancaran roket tu pun terkedu gak seketika dek kerana semangat kebangsaan. Itu baru naik roket Russia, kalau hantar angkasawan Malaysia naik roket Malaysia, apatah lagi! Tapi demi untuk merealisasikan hasrat tu, kita mestilah dah sampai tahap negara maju, dan kalau nak sampai tahap negara maju, kita kena realisasikan pelan yang terkandung dalam Wawasan 2020.

Kalau nak didik orang banyak, kena berfikir macam orang banyak. Capture their imagination, bukan lambakkan prinsip-prinsip yang abstrak dan tak bermakna dan suruh mereka telan. Masyarakat Malaysia ada lebih banyak perkara berkaitan kemandirian sehari-hari (daytoday survival) yang mereka perlu ambil tahu daripada abstraksi Wawasan 2020. Jadi jika mereka yang terlibat dengan pelaksanaan Wawasan 2020 ni masih berfikir macam eksekutif dan birokrat dan tak peduli samada masyarakat ni faham ke tidak Wawasan 2020, sampai tahun 2020 pun orang takkan ambil tahu tentang Wawasan 2020 dan Malaysia tak jadi negara maju. Baru padan muka.

Daripada kita dok sibuk kisah pasal ahli politik anu main bontot si anu, si polan sumpah laknat si polan; Cina, Melayu dan India bercakaran, baik kita fokus kepada perkara yang akan membawa manfaat kepada negara. Walaupun John F. Kennedy cakap jangan persoalkan apa negara bagi kepada kamu, bagi aku, kalau kita bercakap tentang Wawasan 2020 dan mencapai taraf negara maju, kita patut persoalkan apa yang kerajaan patut bagi tahu kat kita.

P/s: Anda tahu apa itu Wawasan 2020?

Tuesday, June 22, 2010

Boleh Terima Ke?


Adapun aku terbaca di surat khabar tentang rancangan kerajaan nak memajukan sektor pendidikan tinggi di Malaysia dalam usaha menarik lebih ramai pelajar-pelajar asing datang untuk meneruskan pengajian di peringkat IPT.

Walaupun prasarana pendidikan tinggi Malaysia mungkin akan dimajukan sampai bertaraf dunia sehingga Negara-negara luar (khususnya dari Timur Tengah dan Afrika) sedia nak menghantar pelajar mereka ke Malaysia, macam mana dengan penerimaan masyarakat umum berkenaan kehadiran pelajar-pelajar asing ni? Adakah mereka dah sedia nak bergesel bahu dengan orang-orang Arab dan Afrika tanpa perasaan negatif berbaur perkauman?

Boleh ke masyarakat Malaysia menerima kebanjiran pelajar dari Timur Tengah dan Afrika semudah itu? Mungkin majalah-majalah tabloid (cth: M****ka) dan ruangan pojok surat khabar akan mensensasikan fenomena ni sebagai satu ancaman. Tengok saja reaksi kita kepada kebanjiran tenaga buruh asing dari Indonesia, Bangladesh dan Nepal. Tambahan lagi kita masih dibelenggu oleh mentaliti perkauman yang melihat tinggi kepada orang berkulit putih dan sebaliknya kepada orang berkulit gelap. Macam la kita ni berkulit pelangi.

Aku pernah terbaca satu laporan akhbar Malaysia tentang beberapa pelajar asing dari Afrika yang dibelasah oleh orang tempatan atas tuduhan mengintai anak dara. Laporan tu tak pernah ada follow up dan siasatan lanjut tak pernah diadakan, kes tu hilang begitu saja. Nampaknya tak ada siapa yang menghiraukan nasib pelajar-pelajar yang dibelasah tu. Kalau kes tu terjadi di Eropah, dah lama ada siasatan polis dan haru-biru di media tentang layanan buruk terhadap pelajar asing.

Universiti bertaraf dunia je tak cukup kalau mentaliti masih bersalut perkauman.

Wednesday, June 16, 2010

Jawab Kertas Sejarah?


Kebelakangan ni banyak seruan dari ahli politik dan orang perseorangan kearah merombak kembali subjek Sejarah yang diajar di sekolah, samada dari segi pengajaran atau pentaksiran, kerana menurut mereka ni terdapat ancaman dari sebilangan pihak yang buat suka hati mak bapak diorang je tanpa memahami latar belakang sejarah negara.

Aku tak ambik pot siapa "sebilangan" pihak yang dimaksudkan tu, siapa yang patut diajar Sejarah, atau apa jenis sejarah yang patut diajar. Sejarah bukan sesuatu yang objektif; bak kata Winston Churchill, sejarah ditulis oleh pihak yang menang. Adolf Hitler pulak berkata, sejarah yang "betul" untuk satu-satu negara sama harganya dengan 100 ketumbukan tentera. Jadi siapa tahu apa itu sejarah yang "betul"?

Tapi itu bukan fokus aku. Apa yang aku nak cakap ialah bagi memupuk minat murid terhadap subjek Sejarah, diorang sepatutnya diajar sejarah alternatif. Dalam kata lain, diorang sepatutnya diajar berfikir tentang macam mana kehidupan diorang akan berubah jika satu-satu peristiwa dalam sejarah Negara (atau dunia) tak berlaku atau berlaku dengan cara yang lain daripada yang tercatat dalam sejarah. Dan sejarah alternatif sepatutnya dijadikan bahan untuk peperiksaan Sejarah, daripada kita memaksa murid muntahkan balik semua fakta-fakta yang diorang dengar tapi tak faham sepatah haram pun.

Aku bagi contoh PerangDunia Kedua (1939-1945). Pada masa tu Malaya di bawah jajahan Empayar British. Jerman Nazi berhasil menakluk sebahagian besar benua Eropah dan sedang berperang dengan Britain. Pada masa yang sama, Jepun berjaya mengawal sebahagian besar Asia Tenggara, termasuk Malaya.

Soalan peperiksaan: Andaikan Britain kalah dalam peperangan menentang Jerman Nazi pada 1940. Ceritakan apa yang bakal berlaku kepada Malaya selepas itu?

Jawapan: Britain berada di bawah jajahan Jerman Nazi, dan Adolf Hitler kini mempunyai kekuatan tentera yang cukup untuk mengalahkan Amerika Syarikat. Oleh kerana situasi di Eropah semakin mendesak, ketumbukan tentera laut AS di Asia terpaksa dialihkan ke Lautan Atlantik. Ini membolehkan Jepun menguatkan asas pemerintahannya di Malaya dan kawasan sekitar...

Tak payah cerita pasal sejarah dunia pun takpe, ambik sejarah Malaysia pun dah cukup. Contohnya, murid-murid disuruh berfikir apa akan jadi jika Dol Said menang ke atas British dalam Perang Naning (1834) di Melaka. Atau apa yang akan terjadi jika British menolak permohonan kemerdekaan yang dibawa oleh Tunku Abdul Rahman ke London (1956) dan sebaliknya melancarkan perang merebut kembali Malaya seperti Perancis dan Algeria.

Lebih kurang macam tu lah. Sudah semestinya, untuk dapat markah yang tinggi, jawapan tu kena logik dan menurut turutan peristiwa sejarah sebenar. Ini memaksa murid membaca dan memahami tarikh, nama, tempat, peperangan, perjanjian dan segala macam lagi lah. Bila diorang mengamalkan apa yang diorang baca, diorang senang nak ingat. Dulu aku selalu terfikir kenapa aku perlu belajar Sejarah walhal aku takkan guna segala fakta ni dalam kehidupan aku, aku cuma perlu hafal dan luahkan dalam peperiksaan, tak payah berfikir pun. Jadi murid-murid harus disuruh berfikir untuk mereka lebih ingat. Lagipun lebih senang nak menghayati Sejarah kalau murid-murid sedar yang sejarah lampau sebenarnya mempengaruhi realiti kehidupan diorang pada masa kini.

Jawapan bagi soalan peperiksaan macam ni sepatutnya lebih subjektif (tak ada betul atau salah) dan dinilai hanya berdasarkan logik dan pemahaman murid tentang fakta-fakta sejarah. Lagipun seperti yang aku sentuh di perenggan kedua, mana ada sejarah yang "betul". Sejarah tu subjektif sebab ia ditulis oleh pihak yang menang atau yang berkuasa.

Saturday, May 29, 2010

Bukan Salah Ibu Mengandung


Kali ni aku nak cerita pasal hal pelajaran dan akademik. Ramai orang yang aku dengar masuk sekolah XYZ, ambik kertas XYZ atau masuk kursus XYZ kerana ibu bapa atau keluarga yang suruh. Dalam erti kata lain, mereka terpaksa kerana kemahuan keluarga. Ikut hati macam tak nak buat sebab tak berminat, tapi kerana harapan mak bapak, terpaksa la buat kertas sekian-sekian atau masuk kursus sekian-sekian, anak yang baik tak sampai hati nak lawan cakap ibu bapa.

Aku tak bermaksud nak tunjuk pandai menegur para ibu bapa yang dihormati, tapi aku cuma nak menggariskan pendapat aku tentang hal ni. Makcik dan pakcik jangan marah pulak sebab ini cuma pendapat peribadi aku yang berdasarkan pengamatan dan hemat sendiri. Kalau aku ada anak, aku akan buat pilihan untuk perjalanan akademik dia setakat sekolah rendah saja, dari darjah satu sampai darjah enam. Aku buat camtu sebab kau pun tahu yang budak-budak kecik belum pandai buat keputusan sendiri, jadi mak bapak la yang kena ambil bahagian dan tentukan arah akademik diorang. Lagi pun sekolah rendah ni mudah dan ringkas, tak payah lagi nak pilih jurusan macam universiti dan sebagainya. Pagi pegi sekolah, belajar, petang balik.

Tapi bila dah habis sekolah rendah dan mula nak melangkah ke sekolah menengah, aku akan bagi pilihan kat anak aku sekolah mana dia nak sambung. Kadang-kadang senang sebab kalau tempat tinggal korang ada sekolah menengah, masuk je sekolah tu, habis cerita. Tapi kalau dia dapat tawaran sekolah asrama ABC dan sekolah asrama XYZ, maka di situ aku akan mula bagi kebebasan kat dia untuk pilih sekolah mana yang dia nak. Semestinya aku akan ada preference sendiri berkenaan sekolah mana yang aku rasa anak aku patut masuk, tapi seboleh-bolehnya aku akan biarkan anak aku buat pilihan sendiri.

Dalam masa yang sama, takde la aku biarkan anak aku terkapai-kapai tak tau apa benda yang dia kena buat, jadi aku akan tolong anak aku buat research tentang tiap-tiap pilihan yang dia ada. Sebab menurut pengamatan aku, kadang-kadang orang yang salah pilihan ni tak buat research dan homework terlebih dulu, dia asyik melangut fikir 'nak buat A ke nak buat B?’, akhir sekali pilihan mereka dipengaruhi emosi. Pilihan yang bijak tu dibuat berdasarkan maklumat.

Pendek kata, dalam apa jua cara pun aku akan tolong anak aku pertimbangkan tiap-tiap pilihan yang dia ada, tapi bila nak memilih, dia sendiri yang kena pilih, aku tak campur. Aku buat macam ni sebab aku nak anak aku bertanggungjawab terhadap hidup dia sendiri. Aku tak nak anak aku cakap “ni semua abah punya pasal!!” sebab aku paksa dia pilih B walaupun dia sebenarnya nak pilih A (ataupun C, D, E...) sebab aku akan rasa bersalah yang amat. Tapi kalau dia sendiri yang pilih, dia la yang kena tanggung kesan daripada pilihan dia. Kalau anak aku sendiri pilih masuk sekolah asrama pastu kena ragging basuh baju senior dan sebagainya, dia tak boleh salahkan aku sebab dia dan aku dah kumpul maklumat yang secukupnya tentang baik buruk sekolah asrama, dan berdasarkan maklumat tu, dia sendiri yang buat pilihan. Jadi dari kecik dia dah tau yang berani buat berani tanggung, atau dalam pepatah Inggerisnya 'you reap what you sow'.

Lagipun zaman dah berubah. Dulu perspektif sangat stereotaip, masuk sekolah asrama memang gila berprestij, tempat budak-budak pandai belajar. Sekolah teknik untuk budak-budak lemah akademik. Masuk aliran sastera gerenti jadi cikgu. Lelaki ambik fizik atau mekanik, perempuan ambik biologi atau masakan. Belajar overseas memang gila hebat, belajar universiti tempatan tak hebat. Jadi doktor atau jurutera lagi hebat dari jadi guru tadika atau ahli muzik.

Tapi sekarang dah lain. Sebab aku generasi sekarang dan sebab aku dah melalui hampir kesemua keadaan yang aku sebutkan di atas, jadi perspektif aku lebih liberal. Aku tahu yang budak sekolah harian sama je dengan budak sekolah asrama, aku tahu kadang-kadang perempuan lebih hebat dalam subjek fizik dari lelaki, dan aku tahu yang belajar overseas ni sama je dengan belajar dalam negara (kecuali bab budaya la). Jadi aku takkan impose perspektif aku ke atas anak aku kalau dia kena buat pilihan, sebab perspektif aku bukan perspektif zaman dulu.

Dan aku takkan paksa anak aku ambik Kejuruteraan Awam atau masuk maktab perguruan hanya sebab aku tak pernah dengar orang ambik Astronomi. Kalau dia nak buat Astronomi, buatlah, tapi kena la timbang baik buruk sebelum memilih. Ada ke peluang pekerjaan untuk ahli astronomi? Susah ke senang belajar astronomi? Soalan-soalan macam tu lah. Sebab walaupun aku tahu yang graduate kejuruteraan dan perguruan ni memang terjamin peluang kerjaya, tapi kalau jasmani dan rohani anak aku menderita sebab tak suka belajar pasal perguruan tapi dia buat kerana kehendak aku, aku la yang bersalah dalam hal ni, bukannya anak aku.

Lagipun kalau anak aku diberi biasiswa atau tajaan untuk buat sesuatu yang dia tak suka semata-mata kerana aku nak dia ambik tajaan tu, maknanya aku yang berdosa sebab bazirkan duit rakyat. Lebih baik duit tu diberi kepada orang lain yang memang berminat, kalau aku kena keluarkan duit sendiri untuk anak aku buat sesuatu yang dia suka, dia mampu buat dan dia mampu berjaya, aku tak kisah.

Suka aku tegaskan di sini yang kebebasan untuk memilih ni hanya berkaitan dengan perjalanan akademik anak aku je, sebab nak tak nak, aku kena mengaku yang belajar tu bukan aku, tapi anak aku. Bukan aku yang akan jadi cikgu, anak aku yang akan jadi cikgu, dan dia yang akan mengawal hidup dia sendiri. Ini pilihan jangka panjang. Jadi tak logik kalau aku dok mengarah dia jadi doktor walaupun dia nak jadi cikgu. Bukan aku yang jadi doktor karang. Tapi bab-bab lain yang jangka pendek aku masih akan kawal, macam bersosial dan perbelanjaan dan sebagainya.

Aku tak nak anak aku salahkan aku nanti bila hidup dia teruk sebab dia tak boleh buat apa yang dia nak dek kerana kehendak aku, jadi aku nyatakan pendirian aku sekarang yang aku akan bagi dia pilih sendiri apa dia nak buat dengan akademik dia.

Saturday, May 1, 2010

Permainan Tradisional?


Dulu aku pernah baca satu buku berbahasa Melayu yang diterjemahkan dari Bahasa Inggeris pasal 'mari bermain conkers'. Conkers merupakan permainan tradisional kanak-kanak kat Britain, Ireland dan jajahannya. Eh nak citer lebih-lebih pasal conkers ni pun malas, kau tengok je la kat sini.

Tapi aku pelik kenapa penerbit buku tu bersusah payah nak terjemahkan buku pasal permainan yang orang tak main kat Malaysia (aku assume buku tu diterjemahkan untuk pasaran Malaysia la sebab dia terjemah ke Bahasa Melayu). Mana ada orang main conkers kat Malaysia? Tapi buku tu dijual di kedai-kedai buku terkemuka macam Borders dan MPH sebab ianya penerbitan dari luar negara, pastu kanak-kanak (dari keluarga kelas pertengahan) pun beli. Jadi akhirnya adik-adik kita pun lebih tahu pasal conkers dari permainan tradisional Melayu.

Ni salah siapa? Nak salahkan penerbit, dia cuma nak cari duit. Nak salahkan kedai buku, dia cuma jual apa yang orang terbitkan. Nak salahkan mak bapak, diorang cuma beli apa yang dah terjual (takkan nak beli benda yang tak dijual pulak ye tak). Jadi in semua berbalik kepada ketiadaan usaha nak membukukan warisan permainan tradisional Melayu. Anda fikir ye, kalau omputih boleh tulis buku pasal conkers, kenapa orang Melayu tak boleh tulis buku pasal konda-kondi? Apa mulianya permainan conkers tu sampai orang boleh tulis buku, dan apa hinanya konda-kondi?

Yang pasti, kalau dah tahun 2100 karang, mungkin masih akan ada orang yang reti main conkers sebab dia pernah baca buku 'mari bermain conkers'. Tapi kau gerenti ke akan ada orang yang pandai main konda-kondi atau baling selipar pada tahun 2100, kalau takde buku 'mari bermain konda-kondi' atau 'mari membaling selipar'?

Aku jugak berpendapat lagu-lagu yang dinyanyikan dalam permainan tradisional Melayu patut ditulis supaya tak hilang. Kalau korang pernah main lompat getah (main tali skipping yang dibuat dari gelang getah), ada beberapa lagu yang korang nyanyi untuk tiap-tiap stage permainan tu. Dulu masa budak-budak aku fasih lagu-lagu macam tu tapi sekarang dah ingat-ingat lupa.

Lagu tu tak standard, ia berbeza dari negeri ke negeri dan dari daerah ke daerah. Jadi memang sayang kalau kepelbagaian lagu tu pupus begitu saja. Lagipun, lagu tu memang sedap dan layan sebab ada rhythm, tapi kalau anda tenung lirik lagu tu sejenak, banyak gambaran yang anda boleh nampak berkaitan budaya dan kehidupan masyarakat Melayu dalam lagu tu.

Kalau takde usaha nak membukukan lagu-lagu ni, tahun 2100 karang memang dijamin lesap la lagu-lagu ni sebab orang yang pernah main (macam aku) semua dah mati atau dah nyanyuk. Budak-budak zaman sekarang, yang akan jadi dewasa pada tahun 2100, akan hanya ingat main PlayStation10 dan XBox, dan kalau untung, conkers sebab pernah baca buku 'mari bermain conkers'.

Apa bangganya tahu main permainan tradisional orang walhal kita ada permainan sendiri?

Mungkin sebenarnya dah ada pun individu yang telah berusaha merakamkan segala jenis permainan tradisional ni, jadi untuk individu berkenaan aku ucapkan syabas dan gigih berusaha. Tapi permainan tradisional ni banyak, bukan setakat konda-kondi dan lompat getah je, jadi kalau seorang je yang dok bertungkus lumus, tak cukup. Aku bukan la nak suruh anda jadi penulis buku, tapi kalau anda pernah main permainan tradisional Melayu, apa salahnya sekali-sekala main dengan anak-anak atau kawan-kawan supaya ianya tak hilang begitu saja.

Saturday, April 10, 2010

Kesilapan Posisi Duduk Si Gajah


Kain pelikat Gajah Duduk memang berada dalam kelasnya yang tersendiri. Dengan selamba badak (gajah?) nya ia berjaya mengungguli takhta selaku kain pelikat terulung di seantero Nusantara. Kalau sebut kain pelikat Gajah Duduk, imej yang bermain di pemikiran kita ialah gaya, mutu dan keunggulan.

Apa yang lebih membanggakan ialah Gajah Duduk berjaya mencapai prestij sedemikian dengan menggunakan jenama berbahasa Melayu yang betul-betul Melayu (walaupun ia adalah produk dari Indonesia). Tak payah pakai jenama yang gah tapi tak bermakna seperti De'Gajah le Duduque, sepertimana banyak barangan tempatan lain yang kualiti dan penjenamaannya seperti tahi.

Dengan mengambil contoh daripada Gajah Duduk, aku ingin mengesyorkan beberapa jenama yang bertemakan haiwan. Jenama yang aku syorkan ini mengikut kriteria berikut: nama haiwan (e.g. gajah) di depan, kata kerja (e.g. duduk) di belakang, dan jenamanya tidak ada kena mengena langsung dengan barangan tersebut. Semoga penggunaan jenama-jenama ini akan dapat memperkuatkan prestij dan gah sesuatu barangan itu sepertimana kain pelikat Gajah Duduk.

Jenama: Ketam Letih
Barangan sesuai: Tayar kereta

Jenama: Musang Tersadung
Barangan sesuai: Losyen pelembap

Jenama: Kutu Kentut
Barangan sesuai: Joran pancing

Jenama: Lalat Tersedak
Barangan sesuai: Alat tulis

Jenama: Keluang Bersila
Barangan sesuai: Komputer

Bolehkah para pembaca mencadangkan jenama-jenama lain seperti ini?